Mendulang emas di halaman rumah sendiri! Bunyinya mungkin agak pelik, namun itu rutin harian yang dilakukan sebahagian penduduk Kampung Jenang di Marang, Terengganu sejak beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun, penduduk terbabit tidak menjadikan pekerjaan itu sebagai punca utama pencarian, sebaliknya aktiviti mendulang emas hanya dilakukan ketika waktu terluang bagi menambah pendapatan sampingan.
Seorang penoreh getah, Abdullah Abdul Rahman, 68, tidak menjadikan aktiviti mendulang emas di tanah miliknya di kampung itu sebagai mata pencarian utama, sebaliknya dilakukan jika ada waktu terluang pada sebelah petang.
Katanya, sebelum menjalankan aktiviti mendulang emas di sekitar rumahnya, dia pernah mendulang logam berharga itu di kawasan Lubuk Mandi di Rusila dan pengalaman berkenaan menyebabkan dia sedikit sebanyak mampu menilai sama ada tanah berkenaan mengandungi emas.
“Pak cik mula mengetahui tanah di sekitar kawasan rumah ini mengandungi emas ketika mahu menggali lubang tandas beberapa tahun lalu apabila mendapati ia berkilauan lalu mengambilnya untuk dibersihkan di perigi berhampiran rumah.
“Sebaik tanah itu diayak, pak cik terkejut apabila mendapati ia benar-benar mengandungi emas dan bermula detik itu, pak cik terus menggali lubang berhampiran rumah untuk mencari emas jika ada waktu terluang.
“Pak cik benar-benar tidak menyangka dengan rezeki dikurniakan Allah ini kerana kebiasaannya, aktiviti mendulang emas dilakukan di kawasan berbukit, bukan seperti yang pak cik lakukan iaitu mendulang di sebelah rumah dan dalam kampung sendiri,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.
Menurut Abdullah, kebiasaannya sebelum aktiviti mendulang dijalankan, dia perlu menggali lubang sedalam antara dua hingga enam kaki sebelum tanah berwarna putih kelabu yang digelar sebagai ‘kon’ ditemui.
“Lubang paling dalam pernah pak cik gali kira-kira 10 kaki tapi kini tidak melakukannya lagi kerana kedudukan emas di kawasan ini tidak begitu dalam dan mudah diperoleh.
“Pak cik sudah tidak berani menggali lubang dalam sangat dan kebiasaannya selepas mendapat tanah yang dikehendaki, pak cik akan menimbus semula lubang berkenaan,” katanya.
Katanya, dalam seminggu, secara purata dia mampu memperoleh kira-kira RM1,000 apabila emas itu dijual di sebuah kedai milik kenalan di Kuala Terengganu.
“Aktiviti mendulang dilakukan pada masa terluang seperti hari hujan apabila tidak dapat ke kebun untuk menoreh getah serta ketika kesihatan mengizinkan selepas menoreh.
“Ketika kegemilangan Lubuk Mandi, pak cik pun turut sama mendulang di kawasan itu dan pengalaman sejak 17 tahun lalu itu digunakan sepenuhnya untuk mendulang di halaman rumah sendiri.
“Penemuan emas di sini sudah lama, cuma pak cik tak begitu aktif menggali. Jika mempunyai masa terluang, pak cik akan melakukannya dengan bantuan seorang anak lelaki,” katanya.
Menurut anak Abdullah, Md Mahayuddin, 25, seorang peniaga, dia sekadar membantu bapanya mengangkat bongkah batu dari dalam lubang dan mengangkat pasir bagi mendulang emas di tepi rumah.
Katanya, ketika mula-mula penemuan itu, ramai penduduk kampung datang melihat aktiviti dilakukannya dan mereka terkejut kerana tidak menjangka kampung itu mengandungi emas.
“Saya hanya membantu ayah ketika menggali dan mendulang kerana tidak mempunyai pengalaman seperti yang pernah dilaluinya ketika mendulang emas di Lubuk Mandi satu ketika dahulu.
“Namun, apa yang dilakukan ayah menjadi sumber pendapatan kami sekeluarga dan penduduk kampung lain dalam meningkatkan ekonomi keluarga masing-masing,” katanya.
0 komentar:
Posting Komentar