Rabu, 20 Agustus 2008

DNA penting sebagai bukti

Dalam sebarang proses siasatan jenayah terutamanya yang membabitkan kes rogol dan pembunuhan, bahan bukti utama yang dijejaki oleh pakar forensik antara lain ialah asid deoksiribonukleik (DNA).

Keunikan DNA yang menjadi identiti biologi setiap individu yang berbeza membolehkan pihak berkuasa mengenalpasti suspek dengan mudah, sekali gus mempercepatkan penyelesaian siasatan sesuatu kes jenayah.

Bagaimanapun, usaha mengumpulkan bukti-bukti DNA pastinya menjadi sia-sia apabila suspek atau penjenayah yang dijejaki gagal dikesan kerana tiada maklumat mengenai DNA itu yang disimpan.

Kegagalan sebegitu juga sebenarnya menjadi dilema di kalangan pihak berkuasa terutamanya polis dan tidak keterlaluan jika dikatakan kebanyakan kes yang tidak berjaya diselesaikan adalah disebabkan tiadanya identiti suspek pada DNA yang ditemui pada mangsa atau yang dikumpulkan di tempat kejadian.

Justeru, apabila Rang Undang-Undang Indentifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008 dibentangkan buat pertama kali di Dewan Rakyat 18 Ogos lalu, ia pastinya disambut dengan baik dan diharapkan dapat dipercepatkan pula kelulusannya apatah lagi ketika peningkatan kadar jenayah kini semakin menakutkan dan berlaku pula dengan cara yang tidak pernah dibayangkan.

Sekiranya menjadi kenyataan, Akta DNA itu akan mewajibkan suspek kes jenayah memberikan sampel DNA mereka kepada pihak berkuasa bagi memudahkan pengumpulan bahan bukti di peringkat siasatan.

Sampel DNA itu termasuk kuku, calitan daripada bahagian bukan sulit badan dan air liur yang merupakan sampel intim manakala sampel bukan intim pula seperti air mani, darah, cecair badan atau tisu, urin, bulu kemaluan dan calitan bahagian sulit individu.

Selain mewajibkan pengambilan sampel DNA, rang undang-undang itu juga bakal membangunkan Bank Data Forensik DNA, analisis forensik DNA, penggunaan profil DNA dan sebarang maklumat berkaitan dengan DNA yang diperoleh dalam proses pengumpulan bahan bukti.

Namun apa yang paling menjadi tumpuan di sebalik penggubalan rang undang-undang DNA itu semestinya kewujudan Bank Data Forensik DNA, iaitu pangkalan data yang membolehkan pihak berkuasa menyimpan rekod profil DNA suspek, sekali gus meningkatkan kecekapan menyelesaikan kejadian jenayah terutamanya bagi kes berulang.

Gesaan untuk mewujudkan pangkalan data DNA sebenarnya bukanlah perkara baru, sebaliknya ia pernah disuarakan oleh pelbagai pihak terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melihat keperluannya seiring dengan peredaran zaman dan kecanggihan teknologi.

Sementelah teknologi forensik itu juga sudah lama diguna pakai dan terbukti keberkesanannya dalam menyelesaikan kes jenayah di negara-negara maju termasuk Singapura. Justeru penubuhannya di negara ini dilihat tidak wajar dilengah-lengahkan.

Menjejak

Seperti yang dijelaskan oleh pensyarah kanan di Program Sains Forensik Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Dr. Zafarina Zainuddin, penubuhan pangkalan data DNA itu memberi kelebihan kepada polis menjejak suspek dengan lebih cepat terutamanya membabitkan jenayah rogol dan bunuh yang berulang.

Katanya, meskipun DNA yang diambil hanya mampu bertahan di antara 10-14 tahun dan perlu dimusnahkan bagi mengelak dimanipulasi untuk tujuan lain, namun profil DNA yang disimpan di dalam pangkalan data boleh bertahan selama-lamanya memandangkan ia direkodkan dalam bentuk nombor.

Justeru, sekiranya pihak berkuasa tidak mempunyai suspek dalam siasatan sesuatu kes jenayah, pakar forensik boleh memadankan bukti-bukti DNA yang ditemui dengan profil DNA yang sudah sedia tersimpan di dalam pangkalan data.

Berbeza dengan pengenalan cap jari yang boleh dihapuskan kesannya di tempat jenayah, penjejakan bahan bukti menerusi DNA bagaimanapun lebih meluas waima menerusi setitik darah atau air mani, atau pada sehelai rambut sekali pun.

DNA yang ditinggalkan di tempat kejadian juga sukar dihapuskan melainkan terdedah kepada persekitaran yang ekstrem seperti lembap atau panas melampau, itu pun masih boleh dijejaki oleh pakar forensik menerusi kaedah tertentu.

"Malah, ketepatan ujian DNA juga hampir sempurna iaitu sehingga 99.9 peratus kerana profilnya bagi setiap individu adalah unik dan berbeza melainkan suspek tersebut mempunyai kembar seiras," katanya.

Zafarina yang juga pakar perunding DNA bagi PDRM menambah, penubuhan pangkalan data DNA di negara ini juga bukanlah sesuatu yang mustahil kerana negara mempunyai kepakaran dan kemudahan yang mencukupi bagi merealisasikannya.

Malah, USM sendiri katanya, sudah lama menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam merekod data DNA membabitkan beberapa bidang kajian yang berkaitan seperti penentuan anak kandung dan sebagainya.

Kepakaran itu tambah beliau, boleh diperkembangkan pada bila-bila masa dalam membantu pihak berkuasa membangunkan pangkalan data DNA untuk tujuan menyelesaikan kes-kes jenayah.

Ketika ditanya kewajaran bank data DNA itu menyimpan rekod identiti setiap warga Malaysia terutamanya sampel yang diambil pada bayi yang baru dilahirkan, Zafarina menjelaskan, cadangan itu juga pernah dibangkitkan oleh beberapa pihak sebelum ini, namun berdepan dengan beberapa kesukaran untuk dilaksanakan terutamanya membabitkan kos operasi pengumpulan DNA yang agak tinggi.

''Mengambil kira kadar kelahiran bayi seramai kira-kira 11,000 setahun, kerajaan perlu memperuntukkan perbelanjaan yang besar kerana kos untuk mendapatkan DNA bagi setiap individu adalah sekitar RM500. Di samping itu, kerajaan juga perlu menimbang kos-kos lain seperti penubuhan makmal DNA di setiap negeri serta kos penyelenggaraan dan pengurusan yang agak tinggi kerana sampel DNA memerlukan perhatian khusus kerana bimbang tertukar," katanya.

Barangkali kerana faktor kos yang tinggi juga, kewajaran untuk mengambil sampel DNA setiap pekerja asing di negara ini perlu melalui proses kajian yang cukup teliti daripada kerajaan.

Perkara itu yang pernah dilihat sesuai dalam menangani jenayah di kalangan warga asing serta kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) juga pastinya mendapat tentangan hebat daripada negara asal pekerja asing, kerana penyimpanan rekod DNA boleh dianggap melanggar etika dan hak asasi rakyat mereka.

Namun, ia tidak seharusnya pula dikecualikan terhadap penjenayah warga asing yang ditangkap dan didapati bersalah, kerana rekod DNA penjenayah itu sangat penting dalam memastikan mereka tidak lagi berpeluang memasuki negara ini pada bila-bila masa.

0 komentar:

Posting Komentar


Top