Selasa, 19 Agustus 2008

Bahaya virus telefon bimbit


Keupayaan teknologi yang meningkat saban hari membolehkan sistem perkomputeran serta telefon bimbit pintar sentiasa maju ke depan namun di sebalik kecanggihannya, terdapat unsur jahat cuba mengambil kesempatan atas perkembangan positif ini.

Unsur jahat yang dimaksudkan tidak lain iaitu penularan virus!

Mungkin kehadiran tidak diundang itu agak biasa bagi mereka yang menggunakan komputer setiap hari tapi kesedaran orang ramai mengenai bahaya virus masih dianggap remeh bagi setengah pihak.

Penggunaan telefon bimbit berstatus moden dijangka menyebabkan kaki godam tersenyum untuk menguji sejauh mana ketangkasan menyebar virus sama seperti yang dilakukan terhadap komputer kerana peranti itu tidak lari dari fungsi sebagai produk pelbagai guna multimedia.

Tambahan pula, mengikut statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan lebih 88 daripada 100 penduduk di negara ini memiliki telefon bimbit.

Bagaimanapun, ada beranggapan telefon bimbit mereka selamat daripada serangan virus.

Kenyataan itu memang benar kalau anda masih menggunakan telefon bimbit model lama kerana platformnya sukar memindah turun virus, tapi jika ketika ini anda memegang produk yang menggunakan antaramuka Symbian, anda perlu ketahui mengenai risikonya.

Baru-baru ini juga, keghairahan pengguna mendapatkan produk telefon bimbit iPhone sehingga sanggup mendapatkannya dengan jalan pintas memandangkan ia masih belum dilancarkan di negara ini. Namun itu mengundang ancaman apabila membuka sistem keselamatannya.

Pengurus Pasukan Respon Keselamatan, Makmal Keselamatan F Secure Kuala Lumpur, Chia Wing Fei tidak menolak kemungkinan penyebaran virus dalam telefon bimbit akan menjadi semakin maju pada masa akan datang.

“Walaupun rekod menunjukkan ia bukan ancaman besar namun kita masih perlu berhati-hati kerana kemajuan teknologi memungkinkan segala-galanya berlaku,” katanya.

Menurutnya, istilah ‘modding’ untuk telefon bimbit yang membawa makna godam atau mengubahsuai perkakasan telefon bimbit semakin popular terutama bagi penggunanya di negara ini.

“Tempoh Januari hingga Jun pada tahun ini menunjukkan budaya modding ini semakin digemari dan industri teknologi maklumat (IT) menggelarnya sebagai ‘Jailbreaking’,” kata Fei.

Katanya, Jailbreaking merujuk kepada pindah turun fail di luar struktur ‘folder’ lain dan diletakkan dalam lokasi sama untuk diakses di kawasan terlarang pada telefon bimbit yang dikhaskan untuk sistem asli saja.

Sebaik ia dipindahkan melaluinya, sistem operasi pada telefon bimbit itu akan mampu diubah pada bila-bila masa mengikut kesesuaian si pemakai.

“Istilah inilah yang popular digunakan bagi membuka akses kepada iPhone kepada perkakasan tambahan luar mengikut selera pengguna,” katanya.

Kegiatan ini turut membabitkan komuniti platform Symbian memandangkan ia bertindak sebagai sistem operasi untuk telefon bimbit pintar popular di seluruh dunia.

Rekod penjualan Symbian melebihi iPhone menyebabkannya tidak terlepas dari kreativiti yang menyebabkan penggodam menggunakan teknik Jailbreaking kepada Symbian S60 Edisi Ketiga dengan hanya satu aplikasi mudah.

Teknik godam terbaru mensasarkan antaramuka ‘debugging’ yang wujud dalam Symbian memberikan mereka kawalan penuh dalam perkakasan terbabit tanpa perlu menyentuh fungsi lain yang dianggap berisiko tinggi.

Keadaan inilah yang menyebabkan kod virus seperti Cabir, Commwarrior dan Beselo mampu bertapak dalam platform Symbian S60 Edisi Ketiga yang mengakibatkan masalah sama masih didapati seperti dihadapi Edisi Kedua.

Namun Nokia bekerjasama dengan Symbian untuk mengetengahkan ciri S60 lebih baik bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku.

Kata Fei, pihaknya menjangkakan penggodam akan cuba menghasilkan virus ‘malware’ untuk Edisi Ketiga ini untuk membuktikan ia boleh ditembusi walaupun tiada serangan seperti itu berlaku setakat ini.

Virus yang menyelubungi telefon bimbit bermula apabila keupayaan ‘Bluetooth’ menyebabkan penularan Cabir kira-kira empat tahun lalu.

Sebaik pengguna telefon bimbit dijangkiti virus Cabir, ia akan cuba menjangkiti telefon lain di sekitarnya asalkan ia beroperasi dalam platform Symbian.

Pengguna akan mendapati bateri telefon bimbit yang akan cepat habis kerana virus itu untuk menjangkiti telefon bimbit lain menggunakan sambungan Bluetooth.

Manakala jenis virus lain yang didapati termasuk Commwarrior yang disebarkan melalui perkhidmatan khidmat pesanan multimedia (MMS).

Dalam perkembangan lain, Fei turut mempamerkan statistik membimbangkan yang dicatatkan F-Secure menunjukkan peningkatan malware yang dikesan sebanyak 450,000 dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini di Malaysia.

F-Secure yang juga syarikat penyedia penyelesaian perlindungan pengguna dan perniagaan daripada ancaman terhadap komputer yang disalurkan menerusi internet atau rangkaian mudah alih menjangkakan jumlah malware dikesan pada akhir 2008 mampu melebihi satu juta.

Fei berkata, makmal F-Secure di negara ini mengesan kira-kira 2,000 ancaman daripada 70,000 sampel sehari.

“Kira-kira 99 peratus pemilik komputer peribadi di negara ini terdedah kepada ancaman malware walaupun pelbagai pendekatan boleh diambil bagi melindunginya,” katanya.

Menurutnya, pemilik komputer peribadi (PC) lebih terdedah kepada ancaman malware apabila sistem operasi Microsoft Windows sering menjadi sasaran utama penjenayah siber ini.

“Jangan pula beranggapan pemilik Mac OSX dan produk lain selamat kerana penjenayah siber akan sentiasa cuba menembusi setiap sistem yang ada,” kata Fei.

Untuk tempoh enam bulan lalu, aduan ancaman tertinggi yang dicatatkan di negara ini disumbang oleh trojan yang berfungsi untuk mencuri kata laluan pada saluran permainan dalam talian.

Kaedah serangan malware kini lebih cenderung untuk mendapatkan keuntungan kewangan dan risikan malah kegiatan pencerobohan ketika ini turut berubah apabila penggodam menentukan sasarannya dan bukan secara rambang seperti sebelumnya.

Pengguna perlu bijak dalam menentukan keselamatan telefon bimbit dan PC anda kerana mungkin tanpa disedari, virus kini sudah menular dalam seluruh sistem yang mengintai aktiviti pengguna setiap hari.

0 komentar:

Posting Komentar


Top