Rabu, 20 Agustus 2008

Zhouzhuang, China - Bandar Atas Air


Zhouzhuang antara empat bandar purba yang punyai sejarah lebih 1,700 tahun


Terletak di pinggir bandar raya Shanghai, Zhouzhuang adalah bandar atas air purba yang amat terkenal di seluruh China, dengan nilai sejarah lebih 1,700 tahun.

Meliputi kawasan seluas 47 kilometer (km) persegi, kampung kecil berbentuk seperti kipas kecil, berkerlipan umpama sebiji mutiara cerah dalam tasik dan pergunungan.

Turut dikenali dengan satu gelaran lain - 'Pearl Stream' (anak sungai mutiara) - bandar kecil itu adalah satu daripada empat bandar purba di Shanghai yang dipulihara dengan baik.

Jambatan lama unik menyeberangi anak sungai, dilindungi pohon willow dan deretan rumah yang berserambi, memikat pengunjung dan warga tempatan yang selama ini hidup di tengah kesibukan dan hiruk pikuk bandar moden kepada dunia baru penuh nilai antik, santai dan ketenangan.

Tidak hairanlah jika melawat Zhouzhuang tanpa menikmati keunikan jambatan bermakna anda belum benar-benar pernah berada di situ.


Jambatan di bandar itu begitu kaya dengan nilai tersendiri dan purba, dibina ketika Dinasti Ming dan Qing.

Bandar lama itu dihubungkan dengan 36 jambatan dalam pelbagai bentuk dan corak, diperbuat sama ada menggunakan kayu, batu mahupun mamar.

Jambatan Fangsheng atau turut dikenali sebagai Jambatan Kebebasan adalah jambatan batu terpanjang, terbesar dan tertinggi dengan lima terowong, memberi kesempatan kepada pengunjung untuk menikmati pemandangan keseluruhan bandar Zhouzhuang.

Jambatan itu dibina pada 1571. Di atas jambatan itu terdapat batu peringatan diberi nama Batu Pintu Naga, yang diukir dengan lapan naga mengelilingi sebutir mutiara. Ada empat ukiran batu berbentuk naga juga terdapat di atas jambatan berkenaan.


Jambatan Fangsheng, jambatan terpanjang di Zhouzhuang.


Jambatan Lang (Jambatan Serambi) juga dikenali sebagai Jambatan Huimin, adalah jambatan kayu tunggal dan muncul jambatan paling terkenal di bandar itu.

Jambatan Lang mempunyai palang kayu di kedua-dua belah sisi dan cucur atap terbalik di atasnya, sama seperti koridor yang sempit.

Lorong utama atau Lorong Utara di bandar itu yang begitu purba, dipenuhi bangunan lama ketika Dinasti Ming dan Qing, memang memikat pengunjung tempatan mahupun asing.

Memang Lorong Utara yang cuma sepanjang satu kilometer itu, adalah lorong purba terbaik yang dipulihara di kawasan subbandar Shanghai.

Pemandangan yang begitu purba sepanjang penjelajahan di bandar terapung itu sambil menghargai bangunan sejarah, deretan kedai dan jambatan lama serta lorong sempit pasti menyuntik kegembiraan.

Zhouzhuang juga terkenal dengan taman cantik dan luas yang menyerikan bangunan lama yang dibina ketika Dinasti Ming dan Qing.

Di antara seni bina purba terkenal seperti Ke Zhi Yuan iaitu taman manor terbesar di bandar itu. Taman itu biasa dipanggil 'Taman Keluarga Ma' sempena nama bekas pemiliknya, Ma Wenqin.

Terletak di Lorong Xijin Street, utara bandar berkenaan, Ke Zhi Yuan menampilkan pemandangan indah dan senyap serta persekitaran yang nyaman. Ia mengandungi tiga bahagian iaitu kawasan dewan, bukit tiruan dan taman.

Kawasan bukit tiruan pula, terdapat seni binaan simbolik menarik iaitu bangunan lima tingkat segi empat, di puncaknya terdapat astaka yang diberi nama "Moon Viet Pavillion". Bangunan ini dianggap binaan tertinggi di situ.

Segala pemandangan yang dijelaskan hanyalah sebahagian daripada tarikan yang ada di Zhouzhuang.

INFO: Zhouzhuang

- Bandar atas air purba yang mempunyai nilai sejarah lebih 1,700 tahun.
- Mempunyai keluasan 47 kilometer persegi.
- Dikenali sebagai Pearl Stream atau anak sungai mutiara.
- Jambatan Fangsheng dibina pada 1571, di atasnya ada batu peringatan dikenali sebagai Batu Pintu Naga.
- Jambatan Lang adalah jambatan kayu tunggal yang terkenal di bandar ini.
- Kebanyakan bangunan di bandar ini dibina ketika Dinasti Ming dan Qing.
- Ke Zhi Yuan adalah taman manor terbesar di bandar ini.

0 komentar:

Posting Komentar


Top