Senin, 25 Agustus 2008

Kerjaya Forensik

Jika anda selalu menyaksikan program televisyen Crime Scene Investigation (CSI), sudah tentu mengenali bidang kerjaya forensik.

Bagaimanapun, jangan anggap bidang kerjaya itu penuh glamour dan sentiasa berdepan ancaman penjenayah kerana senarionya berbeza di dunia nyata.

Forensik dalam dunia realiti lebih menjurus kepada penggunaan dan kepakaran sains serta teknologi. Pembabitan dalam kerjaya ini tidak menjurus kepada penangkapan penjenayah mahupun membawa senjata tapi lebih fokus kepada mencari jawapan bagaimana tragedi berlaku serta bukti bagi membantu pihak berkuasa.

Forensik berasal daripada bahasa Yunani, forensis yang bermakna perdebatan. Ia adalah ilmu yang digunakan bagi menegakkan keadilan melalui proses penerapan sains.

Ada beberapa kelompok ilmu forensik seperti forensik fizikal, kimia, psikologi, kedoktoran, toksikologi, psikiatri dan komputer.

Bagaimanapun, lazimnya masyarakat lebih mengenali forensik fizikal kerana sering dikaitkan dengan keperluan membantu di tempat kejadian jenayah.

Forensik juga tidak dapat lari daripada tanggapan berdepan dengan mayat dan suasana mengerikan. Justeru, tidak ramai berminat menceburi kerjaya ini kerana beranggapan ia hanya mencakupi dunia kerjaya kecil.

Kepentingan forensik tidak dapat dinafikan. Meskipun tidak diketahui tarikh sebenar ia diperkenalkan, pada kurun ke-16, bidang perubatan di Eropah sudah mula menggunakannya menerusi golongan askar dan universiti bagi mencari punca kematian.

Pakar bedah askar Perancis, Ambroise Pare, memulakan proses pemeriksaan secara sistematik terhadap kematian askar manakala pakar bedah Itali, Fortunato Fidelis dan Paolo Zacchia adalah pencetus kepada patologi moden.

Tugas forensik juga membantu menentukan identiti seseorang dengan tepat dan tanpa kesilapan bagi proses keadilan seperti menuntut jenazah sukar dikenali.

Pada masa sama, forensik sangat diperlukan bagi mencari jawapan seperti penculikan dan keraguan identiti.

Ilmu forensik secara amnya boleh dibahagikan kepada tiga bidang ilmu utama iaitu forensik patologi, klinik dan makmal.

Dari segi prospek kerjaya, bidang sains forensik menyediakan peluang cerah. Mereka yang mempunyai kelulusan dalam bidang ini boleh berkhidmat di perkhidmatan forensik Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kimia Malaysia, bomba atau tentera.

Selain itu, mereka boleh berkhidmat sebagai pegawai penyelidik dan sains di hospital, institusi pengajian tinggi, makmal diagnosis kerajaan atau swasta, bahagian pengeluaran atau pentadbiran syarikat farmaseutikal, organisasi kawalan pencemaran serta melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi dalam bidang akademik.

Forensik boleh menjadi pilihan utama kepada pelajar namun, keputusan dalam subjek sains, matematik dan bahasa Inggeris perlu cemerlang.

0 komentar:

Posting Komentar


Top