Selasa, 26 Agustus 2008

Tunjuk perasaan di Thailand


Beribu-ribu penunjuk perasaan merempuh dan merusuh di beberapa kawasan termasuk mengepung pejabat Perdana Menteri, Samak Sundaravej dalam usaha melumpuhkan kerajaan pimpinannya, hari ini.

Sekurang-kurangnya 20,000 penunjuk perasaan yang menuntut Samak meletakkan jawatan, memasuki premis stesen NBT, membanjiri pekarangan pejabat beliau di Rumah Kerajaan dan mengepung tiga kementerian utama. Awal pagi ini aktivis antikerajaan itu menceroboh masuk ke studio NBT sehingga menyebabkan siaran televisyen itu tergendala selama sejam.

Wartawan NBT meninggalkan studio mereka dan berpindah ke sebuah bilik di Ibu Pejabat Polis Trafik Bangkok untuk menyambung semula siaran. “Kami tidak boleh bekerja di Vibhavadi kerana 5,000 penunjuk perasaan sudah menduduki premis itu,” kata Pengarah NBT, Suriyong Hoonthasarn.

Polis sebelum itu menangkap kira-kira 80 aktivis bersenjata apabila mereka memasuki studio NBT dan memaksa siaran dihentikan. Penceroboh bersenjatakan dua pucuk pistol, kayu golf, lastik dan pisau, lapor siaran NBT selepas kejadian tersebut.

Amaran

“Hari ini ialah hari revolusi rakyat, kerana itu kami mahu NBT menghentikan siaran,” kata Suriyong memetik ucapan yang dilaungkan oleh aktivis berkenaan. Sementara itu, Samak berkata, beliau semakin hilang sabar dan berikrar mengambil “tindakan tegas” untuk menamatkan protes antikerajaan yang semakin merebak oleh gerakan yang bergabung di bawah Perikatan Demokrasi Rakyat (PAD) itu.

“Polis akan menggunakan semua pilihan yang ada untuk memulihkan keadaan secepat mungkin, termasuk mengambil tindakan tegas terhadap penunjuk perasaan. “Tidak mungkin sebuah negara 63 juta penduduk seperti Thailand membenarkan sekumpulan lima orang membentuk gerombolan jalanan dan merampas kuasa.

“Saya tidak akan tunduk, Kabinet saya tidak akan tunduk dan begitu juga dengan polis dan tentera yang tidak akan tunduk pada desakan PAD,” tegas beliau. PAD yang dianggotai oleh aktivis proraja dan ahli perniagaan protentera menuduh Samak mentadbir negara ini bagi pihak bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra dan hanya bertindak sebagai boneka untuk jutawan yang kini melarikan diri ke Britain itu.

– Agensi

0 komentar:

Posting Komentar


Top