Rabu, 27 Agustus 2008

Seks Bebas & Jenayah Seksual, apa nak jadi?

Dalam negara mengorak langkah menerajui era baru dan sekali gus melaksanakan matalamat wawasan 2020, tanpa kita sedari matlamat itu hanya tinggal angan-angan sahaja apabila tonggak negara (remaja) sepertinya telah hilang entah ke mana. Kepelbagaian masalah sosial berlaku. Dan salah satunya adalah seperti yang tersebut di atas.

Seks bebas dan jenayah seksual di kalangan pelajar kini semakin menular dan membimbangkan kita terutamanya pelajar di kawasan bandar dan kota . Gejala ini terus menular dan ada remaja yang begitu berani mempraktikkannya di sekolah. Apa yang menyedihkan kita ialah penglibatan mereka mula dikesan seawal usia 13 tahun ketika mereka mereka berada di tingkatan satu dan dua.

Seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah mendedahkan bahawa beliau menemui kondom yang disimpan dalam beg oleh pelajar wanita di sebuah sekolah di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Kondom itu ditemui ketika pemeriksaan mengejut (sport-check) dilakukan di sekolah tersebut Peningkatan pembabitan remaja perempuan dalam aktiviti maksiat juga adalah satu lagi petanda bahawa keruntuhan akhlak remaja di Malaysia bertambah serius. Seorang lagi guru di sebuah sekolah di Kuala Lumpur mendedahkan bahawa beliau pernah membuat tinjauan di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada waktu malam dan merasa sungguh terkejut kerana mendapati pelajarnya, lelaki dan perempuan meneguk minuman keras tanpa segan silu di khalayak ramai. Beliau juga mendedahkan terdapat seorang pelajar wanita di sekolahnya terlibat dalam pengedaran pil ecstasy. Pelajar terbabit kerap ponteng sekolah dan apabila disiasat , pihak sekolah mendapati pelajar itu adalah ketua pengedar pil ecstasy di sekolah itu.

Menurut Ketua Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim, jenayah seksual di kalangan pelajar terutamanya di sekitar Kuala Lumpur semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Di antara jenayah seksual yang mereka lakukan seperti mencabul kehormatan , merogol dan juga pelacuran . Mangsa yang dicabul oleh mereka bukan sahaja pelajar wanita tetapi juga wanita-wanita dewasa. Selain jenayah seksual, beliau mendedahkan mengenai masalah seks rambang, hamil luar nikah dan pelacuran dikalangan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT). Menurutnya seramai 141 gadis bawah umur berjaya diselamatkan daripada kancah pelacuran dan kegiatan seks haram di seluruh negara dan sepanjang tahun lalu pula seramai 230 remaja bawah umur yang terlibat berjaya diselamatkan dan dihantar ke pusat pemulihan akhlak.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita seks oral dibawah meja di bilik darjah oleh empat orang murid tahun dua di sebuah sekolah rendah di Taiping. Hasil siasatan guru-guru, didapati bahawa seorang daripada murid itu mengulangi apa yang yang dilihatnya dalam sebuah filem lucah , bersama-sama ibu bapanya pada malam sebelumnya. Di sebabkan oleh sebab sifat ingin tahu, dia meminta rakan-rakannya untuk mencubanya di bawah meja selepas guru mereka meninggalkan bilik darjah.

Namun apa yang sangat menyedihkan ialah sikap ibu bapa itu sendiri yang sanggup mendedahkan anaknya ke arah gejala sosial dengan menonton video lucah bersama-sama anak meraka. Bagaimanakah ini boleh terjadi dalam masyarakat kita pada hari ini ? Apakah faktor yang menyebabkan berlakunya semua ini ? Adakah anak yang perlu dipersalahkan atau ibu bapa yang tidak berakhlak yang perlu dipersalahkan ? Ibu bapa hendaklah menjadi pemangkin dan contoh teladan yang baik bagi anak-anak kerana pengaruh media massa pada zaman ledakan maklumat dan lambakan bahan-bahan lucah seperti majalah dan VCD lucah amat mudah mempengaruhi tingkah laku anak-anak dan para pelajar. Anak-anak tidak akan berfikir dua kali untuk melakukan kesalahan kerana di rumah mereka sudah lali/biasa dengannya. Mereka menganggap ianya adalah sesuatu yang biasa. Dan apabila perkara yang luar biasa ini dianggap biasa, ia akan menjadi satu amalan. Amalan buruk! Bila perkara yang tak baik berlaku, barulah ibubapa sibuk menyalahkan pelbagai pihak. Ibubapa seperti ini mungkin belum layak sama sekali untuk memikul tanggungjawab yang diberikan. Seperti yang kita selalu dengar, semuanya bermula dari rumah.

Remaja dan pelajar merupakan golongan pewaris kepimpinan hari ini dan penerus wawasan negara. Kepesatan pembangunan ekonomi dan teknologi telah memberikan kesan kepada pembangunan sosial dan insaniah para pelajar. Minda mereka menjadi lebih terbuka dan bebas. Salah satu daripada gejala yang berlaku pada masa kini ialah masalah penyalahgunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan remaja. Aktiviti seperti "Lepak Siber", melayari halaman lucah dan hiburan keterlaluan, penyebaran fitnah dan sebagainya merupakan gejala negatif yang semakin menular di kalangan remaja. Justeru itu, satu bentuk langkah pembendungan dan penyelesaian terbuka yang sesuai dengan minat dan citarasa mereka ini perlu dilaksanakan agar mereka dapat mempertingkatkan potensi diri mereka dan memanfaatkannya ke arah yang lebih positif.

Jika pada masa akan datang remaja kita masih berada dengan kebiasaan lama, apa akan jadi pada Malaysia?

0 komentar:

Posting Komentar


Top