Selasa, 26 Agustus 2008

Prabayar atau pascabayar?

Bayar dulu sebelum guna atau guna dulu dan bayar kemudian. Mana satu pilihan terbaik dan lebih menjimatkan? Antara kedua-duanya, yang manakah pula memberikan keselesaan kepada pengguna supaya tidak dibebani caj melampau dan pada masa sama, dapat menggunakan khidmat tanpa gangguan terutama ketika diperlukan atau kecemasan?

Ia adalah senario biasa yang sering menjadi pertanyaan setiap kali seseorang individu mahu menggunakan telefon mudah alih. Dengan ada sistem prabayar dan pascabayar serta pelbagai pula pakej ditawarkan syarikat pengendali telefon mudah alih, membuatkan pilihan kini menjadi lebih banyak.

Berbeza sekali jika dibandingkan zaman awal 1990-an dulu apabila pilihannya terhad dan ketika itu pengguna hanya bergantung kepada pakej pascabayar yang mengenakan caj panggilan sehingga mencecah 50 sen hingga lebih RM1 seminit, malah terpaksa membayar sewa talian yang mahal iaitu sekitar RM60 sebulan.

Namun, erapasca bayar yang ketika itu hanya mampu dimiliki golongan elit dan berada ditenggelami kemunculan sistem prabayar selepas syarikat telekomunikasi, DiGi Telecommunications (Malaysia) Sdn Bhd memperkenalkannya pada Januari 1998.

Bermula detik itu, satu persatu syarikat telekomunikasi lain menjejaki langkah mereka dengan memperkenalkan sistem sama seperti Celcom dengan produk Xpax dan Maxis pula dengan produk Hotlink. Terkini muncul pula uMobile.

Kemunculan sistem prabayar nyata memberi impak besar kepada penggunaan telefon bimbit di negara kita, lantaran kemudahannya boleh dinikmati siapa saja termasuk mereka yang disenarai hitam kerana gagal membayar bil pasca bayar serta lebih meluas ke semua golongan sama ada orang dewasa dan pelajar.

Selepas prabayar muncul, telefon bimbit bukan lagi aset bermegah menunjukkan kemewahan, malah sudah dianggap keperluan dengan kanak-kanak kini juga dilihat selamba memilikinya.

Kenapa? Semuanya kerana ia mampu dimiliki dengan harga sangat murah dan pelbagai pakej yang ada, menjadikan sistem itu terus menjadi pilihan. Malah bukan menghairankan lagi jika ramai kini sering bertukar nombor telefon kerana pek permulaan prabayar kini boleh dibeli dengan harga tidak sampai RM10, malah ada yang memberinya secara percuma.

Namun, benarkah penggunaan prabayar menguntungkan sehingga lebih 80 peratus pengguna telefon bimbit di negara ini memilih sistem itu dan adakah ia dipermudahkan kerana pasti semua masih ingat, di awal kemunculannya, sangat sukar untuk mendapatkan kad tambah nilai, selain terpaksa mengunjungi kedai telefon.

Maklumat daripada semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi mudah alih diambil untuk membuat perbandingan antara sistem prabayar dan pasca bayar dan sejauh mana ia mampu memenuhi keperluan pengguna.

Tidak dinafikan, maklumat diperoleh menunjukkan majoriti pengguna di negara ini memilih menggunakan prabayar dengan 6.2 juta pelanggan Celcom adalah pengguna prabayar berbanding hanya 1.4 juta memilih sistem pasca bayar.

Pengguna prabayar Maxis pula berjumlah lapan juta orang berbanding dua juta pelanggan pascabayar. Lebih lima juta pelanggan Digi pula memilih prabayar berbanding hanya 1.3 juta pelanggannya saja memilih sistem pasca bayar.

Melihat kepada jumlah pengguna jelas menunjukkan prabayar jauh lebih popular berbanding pasca bayar dan kerana itulah perkhidmatan menjual kad tambah nilai kini menjadi satu perniagaan yang sangat menguntungkan. Namun, adakah penggunaannya juga menguntungkan?

Naib Presiden Kanan (pemasaran) Celcom, Zalman Aefendy Zainal Abidin, berkata kelebihan untuk kedua-dua pakej itu bergantung kepada corak penggunaan pelanggan sama ada tinggi atau sebaliknya.

“Untuk pengguna yang tidak mempunyai corak penggunaan yang tinggi (dalam lingkungan RM50 sebulan), mereka patut menggunakan sistem prabayar kerana ia mudah digunakan dan membenarkan pengguna untuk mengendalikan akaun mereka dengan baik melalui mekanisme tambah nilai.

“Untuk pelanggan yang mempunyai corak penggunaan yang tinggi (lebih RM80 sebulan), mereka lebih sesuai menggunakan sistem pasca bayar kerana tidak perlu menambah nilai kredit dan hanya perlu membayar bil sebulan sekali selepas menggunakan servis ini,” katanya.

Maksudnya, sesiapa yang kerap menggunakan telefon bimbit sama ada untuk membuat panggilan atau menghantar sistem pesanan ringkas (SMS), penggunaan sistem pascabayar lebih digalakkan.

Ini kerana, melihat kepada caj dikenakan untuk dua sistem itu, nyata memberi kelebihan kepada pengguna pasca bayar berbanding prabayar yang mengenakan caj antara 15 sen hingga 45 sen seminit bagi panggilan, manakala caj SMS pula sekitar 10 sen hingga 20 sen bagi satu SMS.

Berbeza dengan pascabayar yang caj panggilannya serendah 10 sen hingga 30 sen seminit, malah ada pakej mengenakan kadar sama rata untuk ke semua talian, manakala caj SMS pula serendah lima sen hingga 15 sen saja.

Kerana itulah Ketua Pasukan Digi Specialised Store, Ivan Hoe, menganggarkan pengguna sistem prabayar yang menggunakan telefonnya sehingga RM300 sebulan, sebenarnya boleh menjimatkan lebih RM150 jika beralih ke sistem pasca bayar.

Itu belum dikira kelebihan lain yang ada dalam pakej pasca bayar seperti panggilan dan SMS percuma ke talian tambahan bagi pengguna pelan 1+3 (Celcom) dan panggilan serta SMS percuma ke semua talian bagi pengguna pelan DG250 (Digi). Pastinya lebih menjimatkan.

Namun, tidak dinafikan sistem pascabayar ada kelemahannya juga kerana kerakusan menggunakan telefon boleh menyebabkan pengguna dibebani dengan bil yang panjang berjela, jumlah yang kadangkala boleh memeningkan kepala dan tidak mampu dijelaskan.

Akhirnya, kegagalan itu menyebabkan nama disenaraihitamkan dan silap langkah boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Berbeza dengan pengguna sistem prabayar yang masih boleh memilih untuk menambah nilai sebanyak RM5 saja bagi membuat panggilan segera, tetapi yang menyakitkan hati pula, sedang enak berbual, talian putus kerana kehabisan kredit.

Nasib baik kemudahan tambah nilai kini dipermudahkan berbanding satu ketika dulu yang mana kini pengguna prabayar boleh menambah kredit panggilannya di banyak tempat termasuk kedai runcit, stesen minyak, mesin tambah nilai dan paling mudah melalui perbankan internet.

Justeru, kedua-dua sistem itu boleh dikatakan mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Tepuk dada tanya poket. Jika mampu dan suka ‘bergayut’, pascabayar pasti pilihan terbaik. Tetapi jika sekadar menerima panggilan dan kadangkala beberapa SMS dihantar, memadai dengan prabayar.

0 komentar:

Posting Komentar


Top