Selasa, 26 Agustus 2008

Kubur lama dipercayai punca histeria pelajar

Misteri gangguan histeria ke atas para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang masih belum terjawab dan seolah-olah tidak berkesudahan.

Gangguan histeria yang berlaku setiap hari sejak tiga bulan lalu itu tidak menampakkan jalan penyelesaian sehingga hari ini, sekali gus mencetuskan persoalan adakah sekolah itu wajar ditutup dan para pelajarnya dipindahkan ke sekolah lain.

Hari ini, empat lagi pelajar perempuan diserang histeria dari pukul 9 pagi hingga 1 petang.

Perkembangan terbaru itu dilihat mewajarkan tindakan seumpama itu diambil memandangkan sebahagian para pelajarnya akan menduduki beberapa peperiksaan penting hujung tahun ini.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman yang bersimpati dengan nasib pelajar turut meminta kumpulan Darul-Syifa cawangan Pahang menyelesaikan masalah tersebut secara total.

“Saya sudah memanggil kumpulan Darul Syifa bersama seorang pengamal perubatan tradisional untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Namun semua pihak perlu bersabar kerana proses pemulihan ini mungkin mengambil masa agak panjang,” katanya.

Beliau mengakui kejadian histeria yang dialami pelajar sekolah berkenaan berpunca daripada gangguan makhluk halus yang terdapat di sekitar sekolah itu.

Katanya, pendekatan berdoa kepada Allah bagi mengatasi masalah tersebut secara berterusan akan dapat mengelakkan berlaku syirik.

“Saya percaya manusia tidak lemah berbanding jin sebab itu juga kita tidak mahu menggunakan khidmat jin bagi menentang jin,” jelasnya.

Belum pun reda gangguan histeria di tersebut, pihak sekolah itu dikejutkan dengan penemuan dua lubang dipercayai kubur lama di tapak pembinaan makmal tiga tingkat sekolah berkenaan.

Kewujudan kubur lama dipercayai milik pendakwah Islam yang berusia kira-kira 100 tahun itu disedari ketika musim cuti persekolahan minggu lalu berdasarkan pengakuan beberapa pengamal perubatan tradisional.

Tinjauan mendapati, kubur-kubur itu yang dipenuhi air turut dipacakkan dengan tiang besi bagi membezakannya dengan lubang lain. Difahamkan, kerja-kerja pembinaan oleh kontraktor terlibat juga dihentikan Jun lalu selepas gangguan histeria di sekolah tersebut berpanjangan sebulan sebelum itu.

Kewujudan kubur lama itu turut dipercayai menjadi antara sebab gangguan histeria yang berlaku hampir setiap hari di sekolah tersebut.

Salah seorang kakitangan SMK Tanjung Lumpur yang enggan disiarkan namanya berkata, dakwaan itu mungkin ada kebenarannya berdasarkan kejadian semalam apabila tiga pelajar perempuan yang diserang histeria menjerit 'aku nak balik' sambil meluru ke tapak pembinaan makmal tersebut.

Menurutnya, gangguan histeria itu kononnya disebabkan kehadiran makhluk halus yang 'berjanji' tidak akan meninggalkan sekolah jika permintaannya untuk mendapatkan dulang tembaga miliknya yang tertanam di kawasan sekolah tidak dipenuhi.

"Upacara pengusiran ada dilakukan semasa cuti sekolah lalu. Ketika itu beberapa pengamal perubatan tradisional cuba berinteraksi dengan makhluk halus, namun ia mahu permintaannya dipenuhi," katanya.

Dalam perkembangan terbaru hari ini, gangguan histeria masih belum menunjukkan sebarang tanda untuk reda apabila beberapa pelajar perempuan sekolah itu terus diganggu semasa dan selepas waktu persekolahan.

Kejadian pertama berlaku kira-kira pukul 10 pagi apabila beberapa pelajar diserang histeria diikuti tiga pelajar perempuan yang pengsan selepas waktu persekolahan ketika menunggu bas di hadapan sekolah.

Ini kali pertama pelajar pengsan selepas mereka dikatakan berperangai pelik. Walaupun tidak meracau, keadaan tersebut masih mengundang keresahan terutama di kalangan ibu bapa dan pelajar sendiri.

0 komentar:

Posting Komentar


Top