Selasa, 26 Agustus 2008

Pelan Pendidikan Negeri Terengganu

Pelan untuk memperkasakan pendidikan di negeri ini bagi tempoh lima tahun akan datang dijangka dapat dilaksanakan mulai tahun depan. Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pelan berkenaan sedang diperhalusi oleh satu jawatankuasa supaya pelaksanaannya dibuat mengikut kesesuaian di Terengganu.

''Selepas pelan itu diperhalusi, ia akan dibentangkan pada mesyuarat Exco kerajaan negeri untuk diluluskan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup Pertandingan Debat Kemerdekaan Ala Parlimen Antara Universiti-Universiti Malaysia 2008 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Arkib Negara, Sidek Jamil dan Naib Canselor UMT, Datuk Dr. Sulaiman Md. Yassin. Ahmad Razif berkata, antara program yang termasuk dalam pelan memperkasakan pendidikan itu ialah meningkatkan jumlah pelajar mengikuti jurusan kedoktoran di luar negara.

''Ketika ini kita menghantar kira-kira 100 pelajar jurusan berkenaan ke Indonesia, Mesir dan Rusia di bawah Yayasan Terengganu dan di bawah pelan pendidikan ini, kita akan meningkatkan jumlah itu kepada 150 orang," katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri juga akan membina sebuah hospital di Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) bagi membolehkan universiti berkenaan menawarkan program kedoktoran.

''Berdasarkan keputusan mesyuarat Exco baru-baru ini, saya telah menghantar surat kepada Kementerian Pengajian Tinggi mengenai komitmen kerajaan negeri untuk membina hospital di UDM dalam tempoh tiga tahun.''Ini merupakan salah satu usaha untuk menambah jumlah doktor dari kalangan pelajar Terengganu," ujarnya.

0 komentar:

Posting Komentar


Top