Sempena perisytiharan Majlis Daerah Dungun (MDD) sebagai Majlis Perbandaran Dungun (MPD) pada 20 Ogos 2008, lokasi pilihan kali ini tentulah daerah Dungun, Terengganu yang menjanjikan 1,001 keseronokan. Paling menarik, selain pantai dan pulau indah, hasil laut segar seperti ikan, udang dan sotong boleh dibeli terus dari nelayan yang berlabuh di tepi pantai setiap awal pagi dan lewat petang.
Jalan-jalan di kampung nelayan pasti meninggalkan banyak kenangan. Sesekali mencipta kelainan, apa kata berkunjung ke lokasi begini. Selain menyelami kehidupan nelayan yang umpama saban hari bertarung nyawa di tengah laut, keheningan desa pasti memberi ketenangan yang dicari-cari.
Apa menarik di Dungun?
Pulau Tenggol harus dilawati jika anda mengunjungi Dungun. Hanya 45 minit perjalanan menaiki bot dari jeti Dungun, Pulau Tenggol dikatakan antara lokasi menyelam tercantik di Malaysia.
Di Pulau Tenggol, anda pasti kagum apabila dapat melihat dengan jelas hidupan laut, termasuk terumbu karang dari dasar laut yang jernih membiru. Jika berminat, Ulek Beach Resort turut menyediakan pakej ke Pulau Tenggol pada harga berpatutan. Pengunjung pasti tidak sedar waktu pulang semakin hampir selepas asyik menikmati keindahan pulau ini sehari suntuk.
Di samping itu, jangan lupa berkunjung ke Rantau Abang yang terletak bersempadan Dungun. Rantau Abang tidak kalah dengan pantainya yang bersih dan paling penting, ia menjadi salah satu daripada enam lokasi utama pendaratan penyu belimbing. Di sini terdapat pusat pemuliharaan penyu yang dikenali sebagai Pusat Penerangan dan Santuari Penyu Ma' Daerah. Penduduk tempatan percaya, batu menyerupai penyu yang terletak di pantai menjadi tarikan penyu belimbing untuk mendarat dan bertelur di Rantau Abang saban tahun.
Setelah puas bersiar-siar di pantai Rantau Abang, anda boleh melawat Bukit Besi yang suatu waktu dulu terkenal dengan kegiatan perlombongan bijih besi bermula pada 1920-an. Mengikut cerita, lombong Bukit Besi ditutup kerana bijih besi dikatakan habis dikaut tentera Jepun. Jika ke sini, anda berpeluang melihat bekas tinggalan alatan dan kelengkapan melombong bijih besi seperti jajaran landasan keretapi dari Bukit Besi ke Jeti Sura, Dungun bagi membolehkan bijih besi diangkut dan dieksport. Lokasi ini menjadi antara tumpuan pelancong terutama dari luar negara untuk melihat dari dekat tinggalan terowong, rumah penginapan, semaian timah dan cerobong kilang.
Selepas Bukit Besi, anda boleh mengunjungi Muzium Dungun. Muzium ini menyimpan banyak sejarah dan artifak penting bandar ini. Tidak disangkal, Dungun memiliki kepelbagaian sejarah, warisan, budaya serta identiti unik dan tersendiri.
Hutan Simpan Bukit Bauk pula menjadi tarikan pelancong kerana banyak tumbuhan dan pokok herba boleh ditemui seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan spesies lain yang sukar dikesan seperti pokok Bulan Dara, Gajah Lawan dan Gajah Menarik. Hutan Simpan Bukit Bauk yang dipercayai hutan batu kapur terbesar di dunia menjadi habitat pelbagai jenis burung, unggas dan serangga yang menarik kajian saintis.
Segarkan badan dengan mandi-manda di Hutan Lipur Sungai Chemerung di bersebelahan Hutan Simpan Pasir Raja. Hutan simpan ini kaya dengan khazanah flora dan fauna seperti pokok meranti dan keruing yang menjadi latar belakang pemandangan indah dan mendamaikan. Hutan Lipur Sungai Chemerung adalah antara hutan rekreasi paling terkenal dan unik di Malaysia. Malah, air terjunnya tertinggi di Malaysia pada paras 305 meter. Hutan lipur ini diselenggara oleh Jabatan Perhutanan dan banyak kemudahan seperti wakaf, tandas dan surau serta gerai disediakan di sini untuk keselesaan pengunjung.
Sebelum pulang, pastinya anda ingin membeli cenderahati untuk keluarga dan teman. Oleh kerana Dungun terkenal dengan hasil laut dan kehidupan nelayan, setiap awal pagi atau petang anda boleh membeli ikan segar di tepi laut yang dijual sendiri nelayan. Selain itu, keropok lekor boleh didapati di kebanyakan gerai di tepi jalan.
0 komentar:
Posting Komentar