Saintis di Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mengumumkan penemuan cecair di Titan iaitu bulan bagi Planet Zuhal dan menjadikannya objek kedua yang mempunyai cecair permukaan dalam sistem suria selepas Bumi.
Penemuan besar itu dibuat selepas analisis oleh pesawat Cassini milik Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang telah mengorbit Zuhal sejak 2004 dalam perjalanan sejauh 3.5 bilion kilometer.
NASA dalam kenyataannya menjelaskan, maklumat oleh Cassini menunjukkan terdapat tasik besar di Titan yang mengandungi cecair hidrokarbon dan etana.
"Ini adalah pemantauan pertama yang menunjukkan Titan mempunyai tasik yang penuh dengan cecair," kata saintis dari Universiti Arizona, Bob Brown yang merupakan ketua pengendalian visual dan pemetaan Cassini.
NASA berkata, kawasan gelap yang luas di permukaan Titan telah dikesan setelah Cassini melaluinya beberapa saat dan berjaya menyimpulkan kawasan itu adalah cecair selepas mengkaji data yang dihantar oleh Cassini yang mempunyai peralatan yang mampu mengenal pasti beberapa bahan kimia berbeza berdasarkan cara ia menyerap dan memantul cahaya inframerah.
Peralatan visual dan pemetaan mengesan tasik yang diberi nama Ontario Lacus di kutub selatan Titan pada Disember lalu dengan keluasan 20,202 kilometer persegi, lebih besar sedikit daripada Tasik Ontario di Amerika Utara.
- AFP
0 komentar:
Posting Komentar