MOSCOW - Beribu-ribu penduduk berkumpul di seluruh kawasan Artik, Siberia dan China semalam untuk menyaksikan gerhana matahari.Pelancong dan penduduk tempatan membarisi tebing Sungai Ob di bandar Novosibirsk, Siberia dan begitu teruja apabila bulan melindungi matahari sepenuhnya dan langit menjadi gelap, lapor stesen televisyen Rusia.
"Agak menakutkan apabila suasana menjadi gelap dan angin bertiup," kata seorang penduduk Rusia kepada stesen televisyen Vesti 24.
Novosibirsk merupakan bandar utama terakhir di laluan gerhana tersebut yang boleh juga dilihat di utara Kanada, Greenland, Norway, Mongolia dan China dalam tempoh dua jam.
"Ibu kota Siberia menjadi tumpuan pelancong buat kali pertama," ulas stesen televisyen NTV.
Kira-kira 200 orang berkumpul di kepulauan Svalbard, utara Norway dan seorang penduduk menganggarkan suhu sekeliling turun 10 darjah Celsius semasa gerhana itu.
Di China sekitar 10,000 penduduk dan pelancong asing berhimpun untuk menyaksikan gerhana itu di pekan Yiwu, 500 kilometer ke timur Urumqi.
Ahli astrologi dan feng shui berkata, gerhana yang berlaku seminggu sebelum Sukan Olimpik Beijing itu mungkin membimbangkan golongan yang mudah dipengaruhi kepercayaan karut.
- AFP
0 komentar:
Posting Komentar