Selasa, 01 Juli 2008

Kemampuan berfikir bezakan manusia dengan haiwan

BERSYUKUR atas jati diri kemanusiaan adalah penting. Apabila kita memahami hakikat kemanusiaan yang ada dalam diri, kita tidak mungkin melakukan perbuatan seperti perangai haiwan. Kita berusaha sekuat tenaga supaya bertindak berlandaskan akal dan fikiran.

Menurut falsafah, perbezaan manusia dengan haiwan itu tidak banyak. Manusia adalah haiwan yang berfikir. Oleh itu, daripada segi kemampuan berfikir, sesungguhnya manusia lebih unggul apabila dibandingkan dengan haiwan.

Apabila kemampuan ini tidak digunakan dengan baik, hilanglah keunggulan yang ada pada diri dan akhirnya kita seperti binatang, bahkan lebih buruk lagi.

Allah menganugerahkan pelbagai kelebihan kepada manusia. Anugerah terbesar dimiliki manusia berbanding makhluk lain adalah akal. Dengan akalnya manusia mampu mengambil pengajaran dan memanfaatkan semua kemudahan yang Allah ciptakan di dunia.

Manusia yang mampu menakluk semua makhluk di dunia ini. Allah memberikan pendengaran, penglihatan dan perasaan. Semua itu adalah modal supaya manusia mampu menduduki darjat yang paling tinggi di sisi Allah.

Keunggulan manusia melebihi jin dan syaitan. Oleh itu, janganlah sekali-kali merendahkan diri kita sehingga menyerupai binatang iaitu makhluk yang bergerak dan bertindak atas rasa dan sifat binatangnya.


Binatang, sehariannya hanya sibuk memenuhi keperluan makan, minum dan syahwat. Tidak ada tujuan lain. Pada sebelah pihak lain, syaitan menggunakan seluruh kesempatan diberikan Allah bagi menyesatkan manusia supaya mereka mempunyai teman di neraka. Seluruh waktu syaitan digunakan bagi melakukan maksiat kepada Allah.

Allah menjelaskan dalam mafhumnya yang bermaksud: "Dan sesungguhnya kami jadikan neraka jahanam kebanyakannya daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan bagi memahami (ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan bagi melihat (tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan bagi mendengar (ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai." (Surah al-A'raf, ayat 179)

Jagalah imej sebagai manusia. Gunakan kemampuan berfikir. Gunakan akal supaya kita mampu menjadi makhluk paling mulia. Apabila tidak mampu menjaga imej sebagai manusia pasti kemuliaan yang ada pada diri kita jatuh dan berubah menjadi hina.

Related Posts

  • Solat tengah malamSyeikh Muhammad Solih al-Munajjid menjelaskan, ada beberapa faktor penting yang dilihat boleh membantu umat Islam untuk …
  • Kriteria Umum Seorang Suami PilihanKriteria yang pertama adalah keutamaan kepada yang baik agamanya. Ini diukur kepada akidahnya dan bagaimana dia beramal …
  • Islam membentuk minda kritis dalam menilaiDR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDINMufti Kerajaan Negeri Perliswww.drmaza.comJika seseorang ingin membaiki sesuatu perkara atau…
  • Jauhi rasuahRasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan orang yang menjadi orang per…
  • Belajar BerfikirLearning without thinking is useless..thinking without learnin is dangerous - confucious Benar sekali kata-kata Confuciu…

0 komentar:

Posting Komentar