Minggu, 20 Juli 2008

Amalan istighfar sebagai penghapusan dosa

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: "Demi Allah, jika kamu tidak berdosa, Allah akan menjadikan satu umat lain yang melakukan dosa, lantas mereka beristighfar kepada Allah lalu diampuni dosa mereka." - (Hadis riwayat Muslim)

Sudah menjadi lumrah manusia tidak boleh lepas daripada kesalahan dan dosa. Hal ini disebabkan adanya sifat lupa, lalai, mengikut hawa nafsu dan godaan syaitan.

Sesungguhnya dosa sebenarnya bukanlah perkara pelik dan mengaibkan tetapi yang aibnya ialah apabila seseorang itu kekal dalam dosa tanpa rasa ingin kembali bertaubat serta memohon ampun daripada Allah.

Oleh itu beristighfar amatlah dituntut dalam Islam kerana ia boleh menghapuskan dosa perbuatan yang dilakukan. Tetapi sayang, kita sukar sekali mengamalkan istighfar ini padahal ia sungguh ringkas dan mudah sehingga akhirnya bertambahlah dosa dilakukan lantaran kelalaian dan tabiat suka bertangguh.

Istighfar juga bukan setakat jalan untuk memohon ampun daripada Allah tetapi sebagai suatu sinar cahaya yang menerangi wajah seseorang.

Melakukan dosa biarpun yang dikatakan dosa kecil perlu dihindarkan kerana dosa kecil boleh menjadi dosa besar apabila:


Dilakukan secara berterusan dan tidak ada azam untuk meninggalkannya. Oleh sebab itu, ada yang mengatakan: "Tidak ada dosa kecil bersama adanya azam untuk terus melakukan, dan tidak ada dosa besar bersama adanya permohonan meminta keampunan.


Perbuatan dosa besar yang dilakukan sekali dan tidak diulangi, harapan untuk memperoleh keampunan terhadapnya lebih besar daripada dosa kecil dilakukan secara berterusan.


Jika dianggap kecil, tetapi sebaliknya, jika dianggap besar, maka ia menjadi kecil di sisi Allah kerana anggapan besar itu timbul daripada kebencian dan berpaling hati daripadanya.

lSebahagian ulama berkata: "Jika seseorang melihat kebesaran Tuhan yang ia menderhaka dengan melakukannya, maka ia akan memandang dosa kecil menjadi besar, dan bukan sebaliknya."


Jika disertai perasaan gembira dan bermegah dengannya.


Jika menganggap ringan keampunan Allah terhadap perbuatannya, tertipu diri kerana menyangka kebolehannya untuk terus melakukan perbuatannya itu disebabkan pemeliharaan Allah terhadapnya dan merasa aman daripada azab-Nya.


Jika dizahirkan, seperti mengatakannya kepada orang lain setelah melakukannya atau sengaja melakukannya di hadapan orang lain.


Jika dilakukan oleh orang yang berilmu dan diikuti masyarakat. Oleh sebab itu, seorang ulama berkewajipan menjauhi dosa, dan menyembunyikannya jika terlajak melakukannya.

0 komentar:

Posting Komentar


Top