Sabtu, 19 Juli 2008

Dunia atau akhirat??

Islam menganjurkan umatnya supaya mengimbangi antara dua tuntutan iaitu duniawi dan ukhrawi dalam masa melakukan sesuatu perkara. Untuk itu, Islam menyusun garis panduan keseimbangan atau kesederhanaan sebagai petunjuk kepada umatnya.

Konsep kesederhanaan juga banyak dibicarakan dalam al-Quran. Allah berfirman yang bermaksud: (Dan mereka yang diredai Allah adalah) mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tidak melampau batas dan tidak bakhil kedekut; dan sebaliknya mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan kedekut)." - (Surah al-Furqan, ayat 67)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang lelaki datang berjumpa dengan Rasulullah SAW lalu bertanya: Wahai Rasulullah! Tunjukkanlah kepadaku satu amalan jika aku kerjakannya, aku akan dicintai Allah dan juga dicintai manusia. Maka Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sederhanakanlah kamu akan dunia, pasti Allah akan mencintai kamu dan sederhanakanlah juga kamu akan apa yang ada pada manusia, nescaya manusia yang mencintai kamu." - (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Dapat disimpulkan bahawa konsep kesederhanaan dalam Islam mengungkapkan pengertian cukup luas merangkumi setiap aspek kehidupan manusia sejagat. Oleh kerana Islam itu sendiri sederhana sifatnya, maka segala ajaran dan suruhannya juga bersifat sederhana.

Justeru, jika seorang Muslim mengamalkan apa yang diperintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya, ini bermakna dia sebenarnya mempraktikkan kesederhanaan dalam hidupnya dan berada di landasan yang betul.

Maksud bersederhana dalam kehidupan dunia ialah meletakkan Allah dan Rasul-Nya di tempat teratas mengatasi kenikmatan duniawi yang bersifat sementara. Keredaan Allah menjadi matlamat utama yang dijejaki Muslim pada setiap masa dan keadaan.

Oleh itu, dunia bukanlah matlamat utama yang dikejar oleh manusia, sebaliknya dunia itu hanyalah sebagai satu jalan atau wasilah yang menjurus ke arah keredaan Ilahi dan kebahagiaan hidup di akhirat nanti.

Tetapi itu tidak bermakna kita perlu melupakan keperluan hidup di dunia semata-mata hendak mencari kebahagiaan akhirat kerana kehidupan di dunia penting dalam mencapai matlamat kesejahteraan akhirat nanti.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu (keperluanmu dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah ruah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan." - (Surah al-Qasas, ayat 77)

Firman Allah itu menolak anggapan segelintir umat Islam yang hanya menumpukan kepada urusan ukhrawi semata-mata dan menolak persepsi sempit sebahagian umat Islam bahawa dunia ini hanya mengundang dosa dan bala.

Ayat itu juga menyaksikan amaran Allah kepada umat manusia yang hanya menumpukan kepada kehidupan dunia saja sampai ke tahap melanggar hukum hakam Allah dan melampau batas dengan melakukan kezaliman dan penindasan kepada manusia sejagat.

Justeru, hidup bersederhana perlu menjadi pegangan umat Islam dalam mencari kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat kerana kedua-duanya penting bagi mengelak matlamat hidup tersasar daripada landasan sebenar.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Lihatlah dan perhatikan orang yang lebih bawah daripada kamu dan jangan sekali-kali kamu melihat orang yang berada di atas daripadamu; kerana yang demikian itu lebih wajar menyebabkan kamu tidak memandang ringan akan nikmat Allah kepadamu." - (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Demikianlah Islam melukiskan gambaran kesederhanaan supaya ia mendasari setiap ruang lingkup kehidupan kita. Oleh itu, sewajarnya kembali kepada ajaran Islam yang suci jika kita bercita-cita untuk mengukir kembali episod kegemilangan generasi umat Islam terdahulu.

Generasi Islam terdahulu cukup bersederhana dalam kehidupan mereka sehingga mereka mampu menjulang obor kecemerlangan di persada dunia ketika itu.

Jika ciri kesederhanaan yang sedia terhias dalam Islam diamalkan dan dihayati sebaik mungkin, umat Islam pasti mampu mengukir nama sebagai umat yang cemerlang dan unggul dalam segala lapangan.

Adalah tidak mustahil bagi umat Islam mengulangi kejayaan dan kegemilangan yang pernah dirintis oleh generasi terdahulu dengan syarat mereka berubah dan kembali kepada Islam yang fitrah.

Hapuskan sikap dan amalan keterlaluan dalam hati dan hidup. Sebaliknya hayatilah ciri kesederhanaan yang menghiasi Islam sebagai pemangkin ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

0 komentar:

Posting Komentar


Top