Kamis, 31 Juli 2008

Kelalaian & kealpaan kita

Firman Allah SWT di dalam al-Quran, yang bermaksud:
" Orang-orang yang beriman menjadi tenteram dengan mengingati Allah,
ingatlah bahawa dengan mengingati Allah itu tenteramlah hati."
(al-Ra'du: 28)

Lalai dari sudut pandang agama merupakan lawan kepada tafakkur. Dari
segi akhlak, setiap kali tafakkur dan perenungan yang tinggi, maka hal
itu akan menyebabkan ketinggian dan kesempurnaan manusia.
Sebaliknya kelalaian, betapapun kecilnya, ia pasti akan menjerumuskan
manusia. Ini berdasarkan kepada ungkapan al-Quran bahawa kelalaian
akan menjerumuskan manusia hingga ke tahap haiwan, bahkan lebih rendah
dari itu. Allah SWT berfirman:

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan
dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak digunakan
untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata tetapi
tidak digunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan
mereka mempunyai telinga tetapi tidak digunakan untuk mendengar
(ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka
lebih sesat. Mereka itulah orang-orang yang lalai." (al-A'raf: 179)
Bagi orang-orang yang hati mereka telah dikuasai oleh kelalaian,
mereka mempunyai mata namun mereka tidak melihat dengan mata itu,
mereka mempunyai telinga namun mereka tidak dapat mendengar dengan
telinganya, dan mereka mempunyai hati namun mereka tidak memahami
dengan hatinya, mereka itulah yang disifatkan menguasai cirri-ciri
sebagai binatang. Mereka juga digambarkan lebih sesat, lebih teruk
dari sifat-sifat binatang.

Kelalaian tidak lain merupakan sifat yang tercela. Pada ayat yang lain
Allah SWT berkata bahawa kelalaian boleh mengunci hati dan menutup
pendengaran dan penglihatan. Firman Nya:
"Mereka itulah orang-orang yang hati, pendengaran dan penglihatannya
telah dikunci oleh Allah, dan mereka itulah orang-orang yang lalai."
(al-Nahl: 108)

Orang-orang yang lalai tidak mempunyai hati. Hati mereka seakan
terkunci. Mereka tidak mempunyai hati yang sedar, tidak mempunyai
pendengaran yang mampu mendengar dan tidak mempunyai penglihatan yang
mampu melihat. Sehingga akhirnya sifat kelalaian ini telah menjadikan
mereka jatuh ke darjat haiwan dan binatang.

Sifat kelalaian adalah lawan kepada sifat sedar dan prihatin diri.
Sifat kelalaian mendorong kepada kehilangan dunia dan lebih malang
lagi, kehilangan akhirat.

Wallahu'lam

0 komentar:

Posting Komentar


Top