Sabtu, 26 Juli 2008

Risiko barah telefon bimbit

Pegawai kanan satu institut penyelidikan barah terkemuka Amerika Syarikat memberi amaran kepada pengguna telefon bimbit supaya mengambil langkah segera, termasuk tidak meletakkan alat itu berhampiran kepala bagi mengelak risiko seperti menghidap barah.

Malah, Pengarah Institut Penyelidikan Barah Universiti Pittsburgh, Dr Ronald Herberman juga bertindak menghantar memo kepada kira-kira 3,000 pekerjanya mengenai risiko bahaya penggunaan alat komunikasi itu.

"Pengguna tidak harus menunggu sehingga wujudnya hasil kajian khusus dan sebaliknya perlu bertindak sekarang," katanya.

Kanak-kanak hanya perlu menggunakan telefon bimbit ketika waktu kecemasan saja manakala golongan dewasa perlu menjauhkan alat itu daripada kepala," katanya dalam memo yang dipetik Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.

Cara lain bagi meminimumkan risiko penggunaan telefon bimbit itu adalah sentiasa menukar tempat telefon itu diletakkan pada kepala.

Setakat ini tiada sebarang kajian akademik besar-besaran yang mengaitkan risiko barah dengan telefon bimbit.


Bagaimanapun Dr Herberman menegaskan yang amarannya itu dibuat berdasarkan kajian awal data yang tidak dihebahkan.

"Kita tidak harus menunggu sehingga keadaan sudah terlambat. Hakikatnya, semakin banyak kajian serta tinjauan kecil mengaitkan penggunaan berpanjangan telefon bimbit dengan risiko kesihatan termasuk barah.

"Saya sendiri yakin sememangnya ada data mencukupi dan layak untuk dijadikan alasan mengeluarkan amaran berhubung pentingnya mengamalkan sikap berhati-hati apabila menggunakan telefon bimbit."

Satu kajian besar-besaran di Britain tahun lalu berkata tiada sebarang kesan jangka pendek penggunaan telefon berkenaan pada otak dan fungsi sel dalam badan.

Bagaimanapun program penyelidikan UK Mobile Telecommunications mengemukakan 'wujudnya petanda' risiko barah bagi penggunaan jangka panjang dan kajian itu akan melihat kesannya bagi tempoh 10 tahun. - Agensi

Related Posts

  • Kerjaya ForensikJika anda selalu menyaksikan program televisyen Crime Scene Investigation (CSI), sudah tentu mengenali bidang kerjaya fo…
  • Pelan Pendidikan Negeri TerengganuPelan untuk memperkasakan pendidikan di negeri ini bagi tempoh lima tahun akan datang dijangka dapat dilaksanakan mulai …
  • Kubur lama dipercayai punca histeria pelajarMisteri gangguan histeria ke atas para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang masih b…
  • Prabayar atau pascabayar?Bayar dulu sebelum guna atau guna dulu dan bayar kemudian. Mana satu pilihan terbaik dan lebih menjimatkan? Antara kedua…
  • Benda-Benda Termahal Di Dunia1. 1 box coklat beharga usd$ 1,500,000 Le Chocolat dengan koleksi berlian dari Simon's Jewelery. koleksi berlian yang di…

0 komentar:

Posting Komentar