Selasa, 29 Juli 2008

Pesawat pelancong ke angkasa lepas


Jutawan penerbangan, Richard Branson, mempamerkan pesawat masa depan keluaran syarikatnya, Virgin Galactic yang boleh membawa manusia melancong ke angkasa lepas.

Pesawat "WhiteKnightTwo" telah dilancarkan kepada media dan orang kenamaan yang dijemput khas, termasuklah angkasawan Apollo 11, Buzz Aldrin di utara gurun Mojave.

Pesawat yang mampu terbang pada altitud yang tinggi itu akan berperanan sebagai induk pesawat kepada kapal angkasa "Spaceship Two", yang akan dilancarkan ketika di udara.

Pesawat ini yang juga digelar "Eve" sempena mengambil nama ibu Branson mampu membawa dua orang juruterbang dan enam penumpang.

Penerbangan pertama WhiteKnightTwo akan dilakukan secara solo pada hujung tahun ini, diikuti dengan penerbangan bersama pesawat Spaceship Two pada 2009.

Syarikat ini dijangka akan membawa pelancong pertamanya ke orbit kecil angkasa yang berada pada jarak 110 kilometer dari bumi pada 2010.

Pesawat berkenaan boleh diterbangkan setinggi 50,000 kaki dan ia dijangka mampu mengadakan penerbangan sebanyak empat kali sehari, kata Branson pada acara perasmian.

Dalam satu wawancara dengan CNN kemudiannya, Branson berkata, dia dan ahli keluarganya akan menjadi antara pelancong angkasa pertama.

Pesawat ini telah direkabentuk dan dibina oleh Scaled Composite yang dimiliki oleh seorang jurutera, Burt Rutan.

Setakat ini, lebih 200 penumpang telah menempah penerbangan dan harga tiketnya dijangka sekitar AS$200,000 (RM640,000).

- AFP

0 komentar:

Posting Komentar


Top