Selasa, 08 Juli 2008

Kebebasan demokrasi memusnahkan?

Jika diteliti kata-kata ahli falsafah Inggeris John Locke, "demokrasi telah dilacurkan oleh semua orang sehingga setiap individu punyai tafsiran tersendiri tentang erti demokrasi."

Demikianlah, realitinya apabila sepanjang lebih sedekad dan lebih ketara tempoh lima tahun ke belakang - kebebasan media, hak memberi pandangan, berhimpun, berwacana termasuk kebebasan di alam maya (siber) telah menjadikan sebahagian pemikiran rakyat resah gelisah. Timbul tanda tanya antara yang haq dan bathil.

Dari satu sudut pandangan, medium teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) misalnya yang mula dipelopori apabila MSC diperkenalkan dalam tahun 1996 dilihat pemangkin bagi penyuburan idea-idea dan pemikiran matang dan proses membentuk masyarakat berilmu.

Bukan sedikit manfaat yang diperoleh negara dan masyarakatnya hasil kepesatan bidang ini. Maka lahirlah gagasan e-kerajaan, e-dagangan, e-hasil, e-buku dan banyak lagi kemudahan ICT untuk membantu kehidupan seharian dan pelbagai proses yang lainnya.

Malang, kebebasan, ketelusan, usaha bersungguh-sungguh kepimpinan negara untuk membentuk masyarakat bermaklumat, berilmu dan terbuka kepada pelbagai akses alternatif telah disalah tafsir sebagai satu ruang kebebasan mutlak sehingga ada wacana, pemikiran, pandangan, tulisan mahupun kata-kata yang menghina, menghasut, mengaibkan dan memfitnah individu tertentu. Paling bobrok apabila karakter tertentu seperti imej pimpinan dijadikan bahan lelucon dalam bentuk lakaran visual yang menjijik dan melecehkan.

Timbul kembali persoalan, terhadap usaha kerajaan menyediakan prasarana lengkap ICT, apakah untuk membentuk masyarakat bermaklumat, berilmu, berdaya saing atau masyarakat yang ketagihan pada berita sensasi, lucah dan bahan berita yang berunsur kontroversi?

Jika ini jadinya maka apa yang diimpikan tidak akan kesampaian.

Kemudian dalam era kontemporari, muncul satu lagi medium bentuk baru yakni blog. Dalam istilah biasa blog seumpama diari harian, dinukilkan segala peristiwa, kejadian dan pandangan si penulis tentang diri, keluarga, masyarakat sekitar dan alam sekelilingnya.

Percambahan blog menjadi satu trend sehingga ramai pengkaji luar dan tempatan sendiri mengakui berpengaruhnya blog sebagai satu wacana pemimpin pendapat dan pemikiran masyarakat era baru.

Hakikatnya blog sudah mampu menarik minat pengunjung laman siber dengan paparan berita, analisis terperinci dan saluran propaganda yang berkesan.

Isu dan masalahnya apabila sebahagian daripada pengendali blog menyalahi etika penulisan, asas pemberitaan, kurang peka, ketanggungjawaban dan aspek profesionalisme kewartawanan. Memang persoalan objektif adalah sesuatu yang subjektif. Barangkali juga wujudnya penulis blog yang bersifat 'mengikat, menilai dan memihak'. Itu adalah lumrah manusia, disebabkan minat, daya taakul (pertimbangan) yang menjadi justifikasi kenapa sesuatu perkara itu ditulis.

Melontarkan idea, berwacana atas prinsip kebebasan berfikir dan memberi pandangan tidak salah. Apa yang salah apabila pandangan yang dilontarkan menyebabkan adanya segmen masyarakat berasa tersinggung.

Isu-isu sensitifLebih lagi apabila isu-isu sensitif melibatkan soal bahasa, agama, hak kaum tertentu dan budaya dibincang dengan meluas tanpa adanya ukuran sempadan yang jelas. Lebih malang apabila komen-komen yang berbaur lucah, maki hamun, bercorak perkauman dibiarkan untuk tatapan pengunjung lain oleh pengendali blog, tanpa ada sedikit pun iltizam di hati mereka untuk memadamkannya.

Jika demikian sifatnya maka, usaha asal untuk memaklumatkan dan mematangkan masyarakat sudah jauh tersasar. Apa yang berjaya dibentuk ialah menanam rasa benci, amarah, taksub kepada pihak tertentu dan menambahkan polemik dalam masyarakat.

Ini menjadikan blog dan isi kandungan penulisannya tidak lagi menjana pemikiran bangsa dan sama-sama menyumbang ke arah peradaban yang mulia.

Satu aspek yang lain, meskipun jaminan kebebasan maklumat dikuatkuasakan oleh peraturan, namun dalam berwacana, memberi pandangan, bebas mengeluarkan pendapat aspek rang undang-undang seperti Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi harus juga dipatuhi.

Bukankah lebih baik penulisan di blog atau mana-mana laman sesawang mewacanakan kaedah murni mencipta keharmonian kaum? Bukankah lebih afdal jika sama-sama menelurkan idea bagaimana mahu dicari jalan keluar ke arah menangani kemelesetan ekonomi sedunia dan masalah kenaikan harga bahan bakar?

Kenapa harus penulisan bersifat politik mendominasi wacana dan pemikiran di laman blog? Apakah hidup ini ukurannya dan ketagihannya mesti dihidangkan dengan menu dan berita-berita politik sensasi lagi kontroversi yang belum sahih lagi kebenarannya?

Bukankah itu fitnah namanya? Ironinya, masyarakat Malaysia masih dalam proses untuk membina satu acuan kematangan yang lebih terserlah dalam usaha mereka berinteraksi di alam maya supaya ketamadunan sebenar dan sudut keperibadian bangsa dapat dikemudi dan dibangunkan dengan jayanya.

ICT hanyalah alat, justeru gunakan segala peralatan dan ruang kebebasan yang diberikan untuk faedah manusia sejagat bukannya dimanipulasi untuk tujuan kemusnahan dan keburukan.

0 komentar:

Posting Komentar


Top