Sabtu, 26 Juli 2008

Panduan menjadi penjamin

Sekiranya anda diminta menjadi penjamin bagi sesuatu pinjaman bank, anda dinasihatkan supaya tidak memberikan persetujuan serta-merta, sekalipun peminjam berkenaan adalah sahabat baik sendiri.

Ini kerana jika sahabat anda itu gagal melunaskan pinjamannya, pemberi pinjaman iaitu institusi kewangan akan mencari anda. Justeru, kita harus berhati-hati sebelum menurunkan tandatangan.

Mempunyai lebih daripada seorang penjamin bagi sesuatu pinjaman itu juga tidak bermakna tanggungjawab anda menjadi lebih ringan.

Ini disebabkan liabiliti penjamin bersama tidak semestinya bermakna anda dan penjamin yang seorang lagi akan berkongsi beban yang sama.

Dalam kes tertentu, bank boleh mengutip semula hutang secara penuh atau sebahagian daripadanya daripada mana-mana penjamin.

Syarat menjadi penjamin


Mesti berusia 18 tahun ke atas


Tidak diisytiharkan muflis


Mempunyai keupayaan fikiran dan mental bagi memahami tanggungjawab sebagai seorang penjamin


Tidak dipaksa, dipengaruhi atau diancam untuk menjadi penjamin

Hak anda sebagai penjamin



Dapatkan salinan surat jaminan atau kontrak dan mana-mana dokumen yang berkaitan dengan pinjaman itu


Bertanya peguam sebelum menurunkan tandatangan


Dapatkan maklumat mengenai pinjaman tertunggak orang yang meminta anda menjadi penjamin bagi pihaknya, tetapi dalam kes ini anda perlu meminta kebenaran daripadanya


Anda boleh meminta peminjam membayar pinjaman bagi melepaskan anda daripada tanggungjawab sebagai penjamin


Mendapat ganti rugi daripada peminjam, sekiranya anda perlu membuat sebarang bayaran kepada bank yang memberi pinjaman

Perkara penting perlu diingat sebagai penjamin


Baca dan faham tanggungjawab anda sebagai penjamin. Kebanyakan orang menjadi penjamin tanpa memahami kesan ke atas diri mereka


Periksa dan pastikan jaminan itu tertakluk kepada undang-undang Malaysia, ada baiknya anda mendapatkan nasihat peguam


Berhati-hati dengan individu yang inginkan salinan kad pengenalan anda. Jika mereka bukan bank atau peguam anda, jangan penuhi permintaan mereka


Jangan menandatangani dokumen kosong atau sebahagian daripadanya adalah kosong. Juga jangan menandatangani sebarang dokumen, jika ia tidak ada kena mengena dengan kewangan anda


Jangan menjadi penjamin, kecuali anda boleh mempercayai tahap keupayaan kewangan dan integriti peminjam


Kadang-kala syarat pinjaman berubah, pastikan anda dimaklumkan mengenai perkara itu.

0 komentar:

Posting Komentar


Top