Hampir 20 tahun lampau Pulau Kambing yang terletak hanya dua kilometer dari pusat bandar raya ini merupakan sebuah kawasan yang tercorot dengan dipenuhi bangunan perniagaan tua dan rumah kediaman yang uzur lagi daif.
Di sini juga pernah wujudnya sebuah tapak stesen minyak terbesar dan jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tempat nelayan memunggah dan memasarkan hasil tangkapan laut.
Bagaimanapun kini keadaan tersebut sudah berlalu kerana akibat pembangunan pesat yang dialami bandar raya Kuala Terengganu sekarang semua bangunan tua dan jalan sempit di situ sudah digantikan dengan baru.
Kini segala-segalanya sudah menjadi suatu kenangan dan lipatan sejarah.
Di Pulau Kambing, sebuah perkampungan tua di pinggir bandar raya kini sudah dibangunkan sebuah taman yang indah dikenali Taman Rekreasi Waterfront.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim berkata, Taman Rekreasi Waterfront kini menjadi salah satu tempat kunjungan ramai khususnya di hujung minggu.
Katanya, Taman Rekreasi yang popular itu dibina pertengahan tahun 2003 dan siap sepenuhnya pada tahun 2006.
Ia menawarkan pelbagai kemudahan untuk keselesaan pengunjung seperti tempat letak kenderaan, menara jam, tandas, pondok bersantai dan sebagainya.
'' Dengan hanya jarak dua kilometer dari pusat bandar raya ia sesuai dijadikan tempat persinggahan pelancong bagi menghilangkan lelah seketika selepas penat memandu atau selepas selepas seharian ditempat kerja," katanya.
Mengulas lanjut Mat Razali berkata, selain sesuai dijadikan tempat beristirahat bersama keluarga, Taman Waterfront juga amat digemari kaki pancing pada hujung minggu.
Katanya, kawasan ini menjadi meriah pada waktu malam terutama hari Jumaat dan Sabtu.
Suasana persekitaran yang tenang dan nyaman sememangnya menjadi tarikan utama kepada golongan kaki pancing itu.
Bagaimanapun, bagi mereka yang membawa anak yang masih kecil, aspek keselamatan harus diutamakan kerana memancing di tebing sungai juga berisiko kerana struktur tebingnya amat rendah.
Taman Rekreasi turut sesuai dijadikan kawasan riadah bagi pelajar yang mahu mengulang kaji pelajaran pada waktu pagi.
Taman seluas dua hektar ini dibina di tepi Sungai Terengganu menghala ke jambatan Sultan Mahmud yang menghubungkan Bandar raya Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Manir, Besut dan Kelantan.
Sementara itu seorang kakitangan kerajaan, Seman Salleh, 50, ketika ditemui berkata,pihaknya bangga kerana kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan beristirahat termasuk Taman Rekreasi Waterfront di sekitar bandaraya.
Katanya, kewujudan lebih banyak kawasan lapang dan riadah tentunya mendatangkan kedamaian kepada warga kota bandar raya yang kini mengalami kepesatan pembangunan.
''Saya bersama keluarga bersama keluarga sering ke sini dan ia sesungguhnya menjanjikan kedamaian yang sukar diperolehi di tempat lain," katanya.
0 komentar:
Posting Komentar