Selasa, 24 Juni 2008

Kontinjen SUKMA Terengganu dapat RM1.3 juta

Atlet Terengganu menerima ganjaran berjumlah RM1.3 juta daripada kerajaan negeri sebagai insentif kerana menyumbangkan pingat sehingga negeri itu berjaya menjadi juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) XII baru-baru ini.

Setiap atlet yang meraih pingat emas menerima habuan RM3,000 manakala masing-masing RM2,000 dan RM1,000 untuk pingat perak dan gangsa selain tambahan RM1,000 kepada atlet yang berjaya memecah rekod kejohanan.

Malah, jurulatih serta pengurus persatuan sukan juga menerima ganjaran apabila mereka turut terbabit dalam pemberian insentif yang difahamkan paling tinggi pernah diberikan oleh sesebuah kerajaan negeri.

Pada majlis itu, atlet sukan kenu, Siti Rajiah Ali, 18, yang meraih enam pingat emas serta mencatatkan tiga rekod baru kejohanan muncul sebagai atlet paling 'kaya' apabila membawa pulang ganjaran kesemuanya bernilai RM25,000.

Ganjaran itu termasuk hadiah RM3,000 kerana pemilihannya sebagai atlet wanita Terengganu terbaik serta jam tangan bernilai RM1,000.

Penuntut di tingkatan enam bawah Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Lela Segara, Marang berhasrat untuk menyimpan yang yang diperolehi bagi kegunaan masa hadapan.

Atlet lumba basikal negara, Mohd. Azizul Hasni Awang pula yang menyumbang dua emas untuk pasukan Terengganu dalam acara 1 kilometer sprint dan 200 meter sprint pula dinobatkan sebagai atlet lelaki terbaik dan membawa pulang wang berjumlah RM10,000 termasuk hadiah iringan jam tangan bernilai RM1,000.

Ekoran prestasi cemerlang atlet sukan kenu yang menyumbangkan 14 pingat emas dan lumba basikal yang melahirkan atlet peringkat antarabangsa, kedua-dua persatuan sukan tersebut masing-masing diberi ganjaran sebanyak RM100,000 dan RM80,000 untuk pembelian peralatan serta van.

Dalam ucapannya sebelum itu, Menteri Besar yang ternyata gembira dengan pencapaian Terengganu sebagai kuasa baru sukan di negara ini turut mengumumkan semua atlet yang berjaya meraih emas dalam Sukma XII akan dibawa ke luar negara untuk menyertai Kejohanan Sukan Arafura di Darwin, Australia pada 9 hingga 17 Mei tahun depan.

Penyampaian insentif itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dalam satu majlis meraikan atlet-atlet Sukma XII di Stadium Tertutup, Gong Badak pada 22 Jun 2008.

Kerajaan Negeri kini bersedia membuka kemudahan sukan, terutamanya Kompleks Sukan Negeri kepada seluruh masyarakat pantai timur termasuklah badan-badan korporat bagi memastikan ianya tidak membazir.

Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak merupakan kemudahan sukan yang termoden di pantai timur dilengkapi stadium utama, stadium tertutup, trek olahraga, 5,000 tempat meletak kenderaan, kemudahan bowling, squash, padang bola tambahan.

Dato’ Ahmad menambah, Kerajaan Persekutuan juga meluluskan pembinaan Sekolah Sukan seterusnya memastikan kemudahan tersebut turut dapat dimanafaatkan dengan sebaik mungkin.

0 komentar:

Posting Komentar


Top