Azizulhasni Awang menyempurnakan hajatnya untuk menghadiahkan dua emas kepada Terengganu pada Sukan Malaysia XII apabila mudah mengungguli acara berbasikal 200 meter pecut di trek bandar Kuala Berang, semalam.
Turut menepati ramalan seorang lagi pelumba tuan rumah, Fatehah Mustafa yang memberikan emas keduanya kepada kontinjenTerengganu menerusi acara 200m pecut wanita.
Azizul yang telah layak ke Olimpik memenangi acara 200m pecut selepas menewaskan pelumba Wilayah Persekutuan, Harnizam Basri dalam persaingan final dengan kepantasan 11.02 saat.
Fatehah mengesahkan kemenangan selepas memecut dengan kepantasan 12.28s untuk mengatasi pelumba Kedah, Ruszatulzanariah Md. Yusuf.
Menurut Azizul, dia amat gembira kerana berjaya menyumbang dua pingat emas untuk tuan rumah apatah lagi dilakukan di depan penonton sendiri.
''Kemenangan ini melengkapkan cita-cita saya untuk membantu menambah pingat emas kepada Terengganu dan berharap Terengganu berjaya mencapai sasaran 40 emas di kejohanan ini.
''Tidak sia-sia saya menempuh perjalanan jauh dari Australia semata-mata untuk menyertai Sukma ini.
''Apa yang lebih penting, saya berjaya mengharungi perlumbaan dengan baik tanpa sebarang masalah," katanya.
Mengenai saingan, semalam katanya, dia tetap berhati-hati berdepan halangan semua pelumba kerana saingan acara pecut di atas trek jalan raya berbeza dengan trek velodrom.
Katanya, dia tidak bimbang mengenai risiko kemalangan kerana aspek keselamatan tetap diutamakan walaupun perlumbaan diadakan di trek jalan raya.
''Segala-galanya berjalan dengan selamat dan saya dapat memecut dengan baik di atas trek jalan raya ini.
''Kemenangan ini khas untuk rakyat Terengganu. Saya akan kembali ke Australia esok (hari ini) untuk meneruskan latihan ke Sukan Olimpik Beijing dengan senang hati setelah memberikan dua emas untuk Terengganu," katanya.
0 komentar:
Posting Komentar