Hari kelima Sukan Malaysia XII menyaksikan tiga lagi rekod kebangsaan dipecahkan dalam acara olahraga, angkat berat dan renang manakala Sarawak mendominasi kedudukan kutipan pingat.
Sejak Sukma XII membuka tirai, angkat berat, renang, serta terbaru olahraga menjadi acara tumpuan untuk menghasilkan rekod baru kebangsaan dan temasya.
Hari pertama olahraga, semalam menyaksikan atlet Negeri Sembilan, Yap Jeng Tzan memecahkan rekod lempar cakera wanita dengan lemparan 46.66 meter, memadam rekod miliknya sendiri, 45.80m yang dibuat di Terbuka Taiwan, dua minggu lalu.
Atlet angkat berat Kedah, Zaira Zakaria berjaya memadam rekod kebangsaan yang dilakukannya sendiri di Terbuka Pahang dalam kategori 48 kilogram wanita dengan angkatan keseluruhan 165kg.
Ini diikuti oleh perenang Sabah, Marellyn Liew yang memperbaharui rekod kebangsaan 100 meter kuak kupu-kupu wanita dengan catatan 1 minit 1.82 saat.
Rekod itu mengatasi rekod lama yang dilakukan perenang kebangsaan, Luisa Los Santos 1:02.08s pada Sukan SEA Korat, Disember tahun lalu.
Empat acara berakhir semalam - ekuestrian, gimnastik, wusyu dan karate. Selangor dan Pulau Pinang masing-masing meraih dua emas dalam ekuestrian, Melaka menguasai gimnastik dengan enam emas, Sarawak jaguh wusyu apabila mengutip lapan emas manakala Pulau Pinang menyapu enam emas dalam karate.
Sementara itu, jaguh lumba basikal negara dan juara Asia, Azizulhasni Awang meneruskan kecemerlangannya dengan merangkul emas keduanya buat Terengganu dalam acara 200m pecut.
Kegembiraan tuan rumah turut ditambah dengan kejayaan Fatehah Mustafa meraih emas dalam 200m pecut wanita, iaitu emas keduanya pada Temasya XII ini selepas muncul juara 500m ujian masa.
Kecemerlangan Azizulhasni dan Fatehah, selain kecemerlangan atlet kenu Terengganu menyumbang kepada kejayaan tuan rumah melonjak ke tangga kedua kedudukan pungutan pingat selepas mengumpul 25 emas.
Bagaimanapun, Sarawak masih unggul di tangga teratas dengan 26 pingat emas, di mana lapan emas disumbangkan oleh atlet wushu yang mendominasi acara tersebut.
Selangor dengan 22 emas mengekori di tangga ketiga, diikuti Wilayah Persekutuan di tempat keempat dengan 16 emas.
Apa yang menakjubkan, tuan rumah yang hanya mensasarkan 40 pingat emas sudah mula menunjukkan taring hanya selepas lima hari Temasya bermula.
Hari ini, tumpuan kembali terarah di lapangan olahraga, di mana acara riben biru, 100m lelaki dan wanita akhir akan berlangsung, selain acara 800m, lompat tinggi, lompat kijang serta acara trek dan padang yang lain.
Malah, acara demonstrasi yang menawarkan 10 pingat emas, formula future juga turut diadakan di Lagun Kuala Ibai bermula pukul 10 pagi.
0 komentar:
Posting Komentar