Kontinjen tuan rumah, Terengganu mampu tersenyum puas selepas mencipta pencapaian di luar dugaan dengan muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) Ke-12 buat kali pertama dalam sejarah temasya sukan dwitahunan yang mula diperkenalkan 22 tahun lampau.
Sukma yang melabuhkan tirainya, semalam (9 Jun) dengan Terengganu muncul juara keseluruhan selepas meraih 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa.
Keunggulan kontinjen Terengganu pada temasya Sukma kali ini juga menyaksikan penguasaan Raja Sukma, Selangor terkubur selepas menduduki kejuaraan Sukma enam kali sejak 1996. Selangor pula muncul naib juara dengan 54 emas manakala Sarawak 52 emas.
Secara keseluruhan, tuan rumah berjaya merangkul 61 pingat emas, angka yang tidak terfikir oleh kontinjen negeri itu apabila hanya mensasarkan 40 pingat emas pada awal temasya yang bermula pada lewat Mei lepas.
Kejayaan itu membolehkan tuan rumah menerima anugerah Piala Perdan Menteri yang disampaikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah kepada Ketua Kontinjen Terengganu, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.
Jika pada malam sebelumnya (8 Jun), pasukan bola sepak tuan rumah menggamatkan stadium yang sama dengan sorakan penyokong yang memberi semangat sekaligus menghadirkan emas ke-59 dan muncul juara acara itu selama dua tahun berturut-turut.
Penguasaan Terengganu terus membanggakan apabila dua pingat emas terakhir bagi acara berbasikal 150 kilometer perseorangan dan berpasukan menambah lagi erti pada hari terakhir, semalam.
Sehingga penutup semalam, keseluruhan temasya berjaya memecahkan tujuh rekod kebangsaan menerusi renang, angkat berat dan olahraga, selain 48 rekod kejohanan juga diperbaharui.
Atlet renang Selangor, Foo Jian Beng diumumkan atlet lelaki terbaik selepas memungut pingat tertinggi iaitu lapan pingat di mana tiga emas, empat (perak) dan satu (gangsa).
Manakala gimnas Wilayah Persekutuan, Brenda Yap muncul atlet wanita terbaik selepas berjaya menggondol lima pingat sepanjang temasya itu.
Acara penutup yang disempurnakan oleh Perdana Menteri berlangsung dengan gilang gemilang turut disaksikan oleh kira-kira 50,000 penonton dari seluruh Terengganu di mana bendera Sukma secara rasmi diturunkan dan diserahkan kepada Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam sebagai wakil kontinjen Melaka yang bakal menganjurkan Sukma Ke-13 pada 2010.
Penonton yang mula membanjiri stadium sejak dari jam 6 petang lagi dan tidak berganjak sehingga lewat tengah malam bagi menyaksikan pelbagai sajian menarik termasuk bunga api dan persembahan artis terkenal seperti Mawi bagi menutup tirai Sukma Ke-12 kali ini.
0 komentar:
Posting Komentar