Sabtu, 31 Mei 2008

SUKMA TERENGGANU 2008 dibuka secara rasmi


Temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII dibuka secara rasmi penuh gilang-gemilang oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Stadium Utama dekat Kompleks Sukan Gong Badak, semalam.

Disaksikan 50,000 penonton yang memenuhi stadium baru berharga RM191 juta itu, majlis perasmian temasya dwi tahunan tersebut padat dengan gimik pertunjukkan dan kesenian.

Turut menyaksikan upacara bersejarah itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dan Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.

Antara kenamaan yang hadir ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaacob dan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Majlis perasmian itu disifatkan paling unik kerana buat pertama kali dalam sejarah Sukma, ia dibuat berkonsepkan teater dengan tema "Tiada halangan, hanya peluang' yang dijayakan oleh kira-kira 2,000 pelajar sekolah.

Sistem lampu tercanggih dan sistem cahaya khas menerangi setiap ruang stadium utama.

Persembahan yang disimbolkan melalui arca-arca dan pelbagai gaya persembahan turut mengetengahkan persembahan perdana oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Serentak dengan perasmian tersebut, maka bermulalah saingan merebut 1,313 pingat dalam 33 acara yang dipertandingkan pada temasya kali ini.

Daripada jumlah tersebut, emas dan perak masing-masing menawarkan 404 pingat manakala gangsa 505 di sepanjang 10 hari kejohanan.

Jumlah pingat serta acara sukan yang dipertandingkan kali ini bertambah berbanding 369 emas dan 29 acara pada Sukma XI di Kedah 2006.

Acara-acara yang dipertandingkan ialah bola sepak, gimnastik, hoki, boling padang, memanah, menembak, olahraga, silat, akuatik, sepak takraw, skuasy, boling, wushu, angkat berat, karate, taekwondo, berbasikal, kanu, petanque, perahu layar dan badminton sebagai sukan wajib.

Sukan pilihan pula merangkumi acara bola jaring, golf, lawan pedang, pingpong, ragbi, tenis ekuestrian, judo, tinju, bola tampar dan bola tampar pantai.

Sukma kali ini turut menyaksikan tiga acara demonstrasi diadakan iaitu kabbadi, silambam dan Formula Future.

Tidak seperti temasya Sukma sebelum ini yang menawarkan pingat sebelum hari perasmian, sehingga perasmian semalam, belum ada satu acara akhir berlangsung di sini.

Namun, saingan hari pertama pertandingan hari ini sengit apabila 19 pingat emas ditawarkan iaitu lapan dari acara renang, empat acara karate, masing-masing dua dalam acara berbasikal dan lawan pedang dan masing-masing satu emas dalam acara gimnastik, ekuestrian dan boling.

Kesemua tujuh daerah iaitu Kuala Terengganu, Marang, Besut, Hulu Terengganu, Dungun, Setiu dan Kemaman bakal menganjurkan acara sukan di sepanjang temasya sehingga 9 Jun ini.

Lebih menarik format penentuan juara keseluruhan tidak lagi berdasar jumlah mata tetapi ditentukan mengikut pungutan pingat emas.

0 komentar:

Posting Komentar


Top