Selasa, 19 Agustus 2008

UM lahirkan lebih 120,000 graduan


Konvokesyen Universiti Malaya (UM) kali ke-47 di Dewan Tunku Canselor (DTC), Kuala Lumpur baru-baru ini menyaksikan 6,950 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing daripada Canselornya, Sultan Azlan Shah dan tiga Pro Canselornya iaitu Raja Dr. Nazrin Shah, Toh Puan Dr. Aishah Ong serta Tan Sri Norma Yaakob.

Daripada jumlah tersebut, 115 menerima ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), ijazah Sarjana (1,359), ijazah Sarjana Muda (5,281) dan Diploma (195).

Konvokesyen sesi pertama dirasmikan Sultan Azlan Shah dan seterusnya menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kemanusiaan kepada bekas Presiden Korea Selatan, Kim Dae-jun yang diterima oleh isterinya, Lee Hee-Ho.

Dalam ucapan penerimaannya, Hee-Ho berkata, suaminya yang menjadi Presiden Korea Selatan dari tahun 1998 hingga 2003 amat menghargai anugerah itu dan berharap kedua-dua negara akan terus meningkatkan hubungan dua hala serta menerajui pembangunan di Asia Timur.

Raja Dr. Nazrin Shah yang merasmikan upacara konvokesyen sesi kedua pula bertitah, UM perlu mengorak langkah secara lebih terancang untuk berupaya saing di peringkat antarabangsa.

“Selaras dengan langkah untuk mempertingkatkan status UM sebagai universiti penyelidikan yang cemerlang, fokus wajib diberikan kepada aspek kualiti.

“Bermula dari proses tapisan pengambilan pelajar, membangunkan tenaga fakulti, merangka kandungan dan kaedah pengajian, membina jaringan strategik antarabangsa serta menghasilkan penyelidikan dan penerbitan pada akhirnya,” titah baginda.

Baginda turut menyempurnakan penganugerahan Profesor Emeritus kepada dekan pertama Fakulti Alam Bina UM, Prof. Ezrin Arbi dan Prof. Datuk Dr. Lian Chin Boon dari Fakulti Pergigian.

UM, universiti tertua di Malaysia, terletak di kampus yang berkeluasan 309 hektar di selatan barat Kuala Lumpur. Mula ditubuhkan pada April 1949 di Singapura berikutan penggabungan Kolej Perubatan King Edward VII (ditubuhkan pada 1905) dengan Kolej Raffles (ditubuhkan pada 1928).

Suruhanjaya Carr-Saunders, yang mengesyorkan penubuhan universiti ini, dalam laporannya pada 1948 mengatakan: “Universiti Malaya buat pertama kalinya akan menyediakan sebuah pusat umum di mana

pelbagai kaum, agama dan ekonomi dapat bercampur gaul dalam usaha untuk menyatupadukan masyarakat. Bagi Universiti Malaya perlu

menyedari inilah dia sebuah universiti untuk Malaya.”


Sementara itu, semasa berucap di majlis penganugerahan Ijazah Sarjana Muda Sains kepada 988 graduan, Aishah Ong berkata, para graduan perlu menghargai pengorbanan pensyarah dan ibu bapa yang merealisasikan impian mereka selama ini.

Katanya, proses menuntut ilmu mesti berterusan kerana gaya hidup yang berubah memungkinkan ilmu hari ini tidak lagi relevan esoknya.

Tahun ini UM mengambil 4,400 graduan peringkat ijazah pertama berbanding 4,900 (2007), manakala mahasiswa peringkat pasca ijazah dan penyelidikan meningkat daripada 2,000 kepada 2,300 dalam tempoh yang sama.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Sains Dan Inovasi turut menyediakan geran penyelidikan bernilai RM33 juta kepada UM tahun ini.

Sementara itu Naib Canselor UM, Datuk Rafiah Salim berkata, sehingga kini UM berjaya mengeluarkan 120,969 graduan pelbagai bidang.

Katanya, hasil kajian Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Setara) oleh KPT, UM adalah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang paling cemerlang di negara ini.

Sebagai contoh katanya, jumlah bilangan projek penyelidikan di UM meningkat kepada tiga kali ganda daripada 675 projek pada tahun 2006 kepada 2,101 projek (2007).

Katanya, jumlah peruntukan penyelidikan juga meningkat tiga kali ganda daripada RM31 juta kepada RM107.5 juta (2007).

0 komentar:

Posting Komentar


Top